PANDAN INDAH – Semangat menabur bakti kepada masyarakat sejak 10 tahun lalu tidak pernah luntur dari diri seorang Ahli Lembaga Pelawat Hospital Ampang, Datin Leong Siew Kam.

Menurutnya, sumbangan yang diterimanya daripada kerajaan atau pihak swasta digunakan sebaik mungkin untuk membantu masyarakat berbilang bangsa yang kurang berkemampuan.

“Pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah saya menerima sumbangan 2,000 kampit beras untuk diserahkan kepada masyarakat. Pada awalnya agak susah untuk saya mengedarkannya kerana jumlah kampit beras yang banyak.

“Bagaimanapun, saya membuat keputusan untuk pergi setiap taman di kawasan ini untuk mengedarkan beras tersebut kepada masyarakat berbilang bangsa,” katanya.

Beliau juga merangkap Naib Pengerusi ‘Legal Advisory & Women’s Committee’ berkata, kerja kebajikan untuk membantu masyarakat perlu dilakukan dengan ikhlas dan rela hati.

“Saya berasa gembira apabila dapat membantu mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Peluang kenali pelbagai budaya

Siew Kam berkata, beliau juga berasa bangga apabila bekas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat merealisasikan cadangannya untuk mengadakan klinik bergerak dalam program kesihatan anjuran ahli politik berkenaan satu ketika dahulu.

“Masyarakat dapat manfaat dalam program itu, mereka menerima pemeriksaan kesihatan asas secara percuma.

“Kita boleh mewujudkan semula program sebegini dengan jalinan kerjasama badan bukan kerajaan serta pihak swasta yang mahu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat untuk masyarakat,” katanya.

Ketua Wanita Persatuan Guangxi Malaysia itu berkata, beliau dapat mengenali lebih dekat budaya dan adat kaum yang ada di negara ini, sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

“Kita dapat kenal adat bangsa lain dan memahami budaya masyarakat majmuk apabila kita berkumpul bersama-sama mereka. Selain itu, kita dapat memupuk perpaduan, selain mengurangkan salah faham diantara bangsa lain,” katanya.

Jangan terpedaya isu perkauman

Menurut Siew Kam, paling menyeronokkan adalah meraikan keraian tertentu kaum lain.

“Apabila tiba musim perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina atau Deepavali, kita dapat menyambutnya bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata, perpaduan pada masa kini masih utuh kerana masyarakat yang berbilang bangsa dapat bekerjasama.

“Kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum mesti ada sikap toleransi dan saling faham-memahami antara satu sama lain, serta menghormati budaya dan adat kaum lain,” katanya.

Menurutnya, generasi muda pada masa kini jangan mudah terpedaya berita tular yang tidak benar serta bersifat perkauman di laman sosial.

“Saya berasa sedih apabila ada pihak yang menyebarkan berita tidak benar, masyarakat khususnya golongan belia harus menyiasat berita itu benar atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, masyarakat juga perlu menghindari individu yang berfikiran ekstremis kaum.

“Sifat perkauman yang melampau juga boleh memporak-perandakan kesejahteraan komuniti...Saya harap masyarakat dapat mengekalkan jalinan perpaduan dan jaga keharmonian kaum yang sudah sekian lama terjalin,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk di Pandan Indah, Sofia Ahmad, 40, berkata, masyarakat mengalu-alukan program yang dilaksanakan oleh Siew Kam.

“Kami difahamkan beliau akan menganjurkan Hari Ibu pada Mei ini bagi menghargai golongan wanita yang bergelar ibu khususnya, program kemasyarakatan sebegini memberi peluang kepada komuniti berbilang bangsa berkumpul bertukar-tukar pandangan disamping mengeratkan silaturahim,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA TINGGI - Pergaulan dengan rakan-rakan Cina ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading, Batu Pahat, memberi kelebihan kepada Noraneza Adam, 33, apabila berjaya menubuhkan tadika berkonsep 1Malaysia dengan kolaborasi guru berbangsa Cina dan India.
  • KEMAMAN - Bengkel Motosikal Apek yang terletak di Kampung Tengah Kijal, di sini, amat popular dalam kalangan komuniti setempat, kerana pemiliknya yang berketurunan Tionghua sangat fasih bertutur dalam loghat Terengganu.
  • TEMERLOH - Kemahirannya bertutur dalam bahasa Melayu loghat Temerloh, membuatkan ramai yang senang bergaul dengan lelaki berbangsa India ini.
  • GEORGETOWN - Dia bukan mualaf malah jauh sekali Muslim, namun bagi wartawan penyiaran sebuah stesen televisyen swasta, R Kumaran, 31, berpuasa di bulan Ramadan bukan perkara asing buatnya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.