SUBANG - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan kes penipuan berkaitan skim perumahan mampu milik.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, KPKT memandang serius dakwaan tersebut selepas syarikat terlibat tidak berdaftar dan tiada kelulusan KPKT.

“Maklumat sedang dikumpul berikutan ramai yang dakwa mereka tertipu dengan skim perumahan mampu milik. Mungkin syarikat tu buat sebagai kontraktor, bukan pemaju.

“Kita tak nak usaha kerajaan mengumumkan 1 juta rumah mampu milik menjelang 2018, ada pihak ambil kesempatan. 

"Digalakkan bantu kerajaan untuk tujuan itu tapi syarat-syarat dan undang-undang mesti dipatuhi,” katanya.

Noh turut meminta pihak atau mangsa terlibat tampil supaya tindakan boleh diambil.

“Task force ini terdiri dari beberapa jabatan berkaitan termasuk PDRM dan KPDNKK dan mana-mana pihak terlibat boleh tampil beri maklumat lengkap termasuk NGO yang membantu memperjuangkan nasib mereka.

“Apabila dapat maklumat lengkap saya yakin tindakan dapat diambil. Sudah tentu ia akan dinilai dari dua aspek sama ada undang-undang jenayah atau sivil dan setakat ini, ada dua syarikat dikenal pasti terlibat dalam pembinaan rumah kos murah,” katanya.

Beliau berkata, sebarang aduan boleh dikemukakan ke Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Perumahan Negara di talian 03-8891 4355/03-8891 4356 atau membuat semakan maklumat pemaju dengan melayari laman web iaitu http://ehome.kpkt.gov.my.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Dun Kota Damansara, Rumah Pangsa Subang Perdana 3, Seksyen U3, semalam.

Pada lawatan itu, Noh mengumumkan peruntukan RM8 juta bagi kos baik pulih lima taman di kawasan Dun Kota Damansara.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GOMBAK - “Saya beli TV, peti sejuk dah lama tapi tak boleh guna sebab tak ada elektrik,” kongsi penduduk Kampung Orang Asli Batu 16 Ulu Gombak, Huda Hamid, 46.
  • SHAH ALAM - Perumahan bagi belia adalah isu yang sering diketengahkan dalam setiap perbincangan melibatkan golongan berkenaan.
  • KOTA BHARU - Permintaan terhadap pembelian rumah di Kelantan masih lagi tinggi pada masa ini biarpun berhadapan dengan cabaran ekonomi semasa.
  • SHAH ALAM - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merancang untuk memperkenalkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi keperluan penduduk golongan M40.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.