PENGAMBILALIHAN kuasa oleh Pakatan Harapan daripada kerajaan BN pada 9 Mei lalu, melihat satu demi satu kes-kes lama disiasat semula.

Tindakan itu diambil kerana kerajaan baharu mendapati ada siasatan yang sudah dijalankan dan keputusan diambil di bawah pentadbiran lalu masih longgar atau mempunyai unsur-unsur dicurigai.

Selari dengan janji manifesto Harapan pada PRU14, sebaik sahaja mengambil alih Putrajaya, kerajaan  Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tumpuan utama kepada kes-kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam tempoh lebih sedikit daripada 40 hari ini, macam-macam pendedahan dan pembongkaran sudah dibuat pihak berkuasa mengenai kegiatan dan transaksi wang melibatkan 1MDB dan orang-orang yang ada di dalam dan sekelilingnya, termasuk Najib yang juga Pengerusi 1MDB dan ahli perniagaan muda, Jho Low yang dikehendaki untuk memberi keterangan.

Tidaklah perlu saya huraikan panjang lebar mengenai pendedahan ke atas 1MDB, syarikat-syarikat dan individu-individu yang dikaitkan dengannya, termasuk peranan Najib dalam ruang terhad ini kerana sudah banyak dilaporkan dalam media elektronik dan cetak hampir setiap hari sejak lebih dua tahun lalu.

Satu lagi kes kontroversi yang polis sudah putuskan untuk membuka semula kertas siasatan adalah kes pembunuhan guru siswazah, penterjemah, jurubahasa dan model sambilan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, 12 tahun lalu.

Altantuya, 28, dipercayai ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di hutan sekunder Mukim Bukit Raja, Klang, pada Oktober 2006.

Mereka yang mengikuti perkembangan kes-kes besar dalam negara ini boleh meramalkan pihak-pihak dan individu-individu yang bakal disiasat dan diambil tindakan di masa akan datang jika didapati bersalah dalam pelbagai kes, termasuk berkaitan jenayah, rasuah, salah laku dan penyelewengan.

Terbaru, pihak berkuasa dijangka menjalankan semula siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock, bekas pembantu politik kepada Adun Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP disebut sebagai berkata, ia telah disahkan Kabinet, Rabu lalu.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas terjatuh dari tingkat sembilan Plaza Masalam di Shah Alam, yang ketika itu ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, di mana Beng Hock ditahan semalaman untuk soal siasat.

Mahkamah Rayuan pada 2014 telah menolak keputusan terbuka yang dibuat koroner berhubung kematian Beng Hock, sebaliknya memutuskan beliau mati selepas jatuh dari bangunan yang disebabkan tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM.

Susulan itu, SPRM bersetuju membayar saman RM600,000 kepada keluarga Beng Hock.

Mahkamah juga mengarahkan polis menyiasat kematian berkenaan.

Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara memutuskan tiada unsur jenayah dalam kematian Beng Hock.

Pakatan Harapan telah berikrar untuk menyiasat kematian Beng Hock dengan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dalam tempoh 100 hari selepas mengambil alih kerajaan Persekutuan.

Beng Hock adalah seorang daripada beberapa saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat ketika itu.

Pada 22 Julai 2009, Kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi mengkaji peraturan soal siasat yang digunakan suruhanjaya itu semasa menyoal siasat Beng Hock.

Saya kira kerajaan baharu tentu sudah kaji dengan teliti sebelum membuat keputusan tentang keperluan menyiasat semula kes ini. Perlu disebut kes ini berbeza dengan kes-kes lain kerana ia telah melalui pelbagai proses siasatan, seperti inkues, polis, RCI dan mahkamah rayuan.

Sebagai kerajaan yang menjanjikan ketelusan dan ketulusan, saya percaya siasatan semula yang dicadangkan itu adalah untuk mencapai keadilan. Untuk memperkemaskan siasatan semula kes ini, barangkali Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang ketika itu menjadi Pengarah Siasatan, dapat memperjelaskan kedudukan kes ini, sementara penganalisis memberi pandangan dari sudut perundangan.

Guan Eng disebut sebagai berkata perbincangan akan diadakan dengan Peguam Negara yang mengendalikan terma perundangan dan ia akan diumumkan kemudian. Kita tunggu dan lihat perkembangannya.