PETALING JAYA - Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman mahu pihak polis mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan yang dijadual diadakan di hadapan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 22 Februari depan.

Syed Saddiq mendakwa, penganjur terbabit yang juga bekas exco Armada, Muhammad Hafiz Azhar  antara individu yang dicari pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kekecohan program Nothing to Hide 2.0 pada Ogos tahun lalu.

“Tetapi kenapa sampai hari ini kita tidak dengar apa-apa maklumat berkaitan. Apa perkembangan terkini (kekecohan Nothing to Hide 2.0) mengenai isu itu,” katanya pada sidang media, semalam.

Justeru, Syed Saddiq meminta polis menyiasat perkara itu.

Terdahulu, sekumpulan bekas ahli Bersatu mengemukakan permohonan kepada polis untuk mengadakan perhimpunan aman di hadapan ROS supaya agensi itu mengambil tindakan terhadap Bersatu kerana didakwa melanggar perlembagaannya.

Dijangkakan lebih 500 anggota Bersatu termasuk mereka yang menghantar aduan kepada ROS akan hadir pada perhimpunan yang dijadualkan berlangsung 22 Februari itu.