KOTA BAHRU - Ketika mana prestasi Pakatan Harapan Kelantan dalam PRU 14 dianggap buruk apabila gagal memenangi sebarang kerusi, namun  keputusan sebaliknya berlaku di peringkat persekutuan memberi cahaya baru kepada gabungan tersebut.

Kesemua 45 calon Dun dan 14 Parlimen kalah. Daripada jumlah itu 36 calon Dun dan sembilan calon Parlimen hilang deposit menjadikan pilihan raya ini satu pengajaran yang cukup besar kepada Pakatan Harapan Kelantan.

Berdasarkan keputusan  itu, sudah pasti pimpinannya pada awalnya agak ‘canggung’ untuk menuntut pelbagai jawatan di peringkat persekutuan termasuk Menteri.

Namun kenyataan terbaru yang dikeluarkan Presiden Amanah, Muhamad Sabu dalam satu Majlis Aidilfitri Pakatan Harapan di Tunjong baru baru ini yang menyatakan Kelantan dan Terengganu tidak dipinggirkan memberi harapan baru penyokong mahupun rakyat Kelantan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal mengumumkan senarai terakhir jawatan tersebut hujung minggu ini bagi melengkapkan senarai penuh yang dijangka 30 jawatan seperti yang dijelaskan sebelum ini.

Dalam tempoh itu, sudah pasti ramai yang akan membuat spekulasi mahupun telahan pemimpin yang mana bakal mengisi jawatan yang disifatkan bulan jatuh ke riba.

Tidak dapat tidak calon utama yang disebut adalah, Husam Musa yang dilihat tokoh yang paling tepat dan sesuai bagi mengisi jawatan menteri penuh.

Selaku tokoh yang dianggap adealis dan berstrategi, Husam yang juga mengepalai Pakatan Harapan dan Amanah Kelantan dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan kepimpinan negara termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Exco Kanan Kerajaan Kelantan itu juga pernah disifatkan sebagai ‘anugerah’ oleh bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun,  sekiranya jawatan Menteri diperuntukkan kepada Husam, beliau perlu menjernihkan hubungan daripada istana beberapa isu berkait dengan beliau sebelum ini.

Apa yang menarik perhatian, sekiranya beliau dilantik, ramai yang mahu melihat bagaimana Husam akan berinteraksi dengan pimpinan Kerajaan Negeri yang sebelum ini dilihat panas dalam pelbagai isu khususnya melibatkan pentadbiran kerajaan Negeri.

Bagaimanapun melalui kenyataan Husam sejurus Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, beliau dilihat lebih terbuka khususnya ketika mengulas isu tuntutan royalti yang diperjuangkannya selama ini.

Bagi Bersatu Kelantan pula, dua tokoh yang layak diangkat adalah Pengerusi Bersatu Negeri, Datuk Kamaruddin Mohd Nor dan juga Timbalannya, Datuk Sazmi Miah.

Selain pernah mengetuai Umno Bahagian Pasir Puteh, Kamarudin juga ialah bekas Adun Semerak, bekas Setiausaha Agung Abim dan bekas Setiausaha Agung WAMY (World Association of Muslim Youths) Asia Pacific yang beribu pejabat di Qatar.

Sekiranya diukur dari segi jawatan parti, Kamaruddin yang juga bertindak sebagai Ketua Penerangan Bersatu di peringkat Pusat sudah pasti perlu diberi perhatian.

Namun, Jika diukur dari segi pengalaman, nama Sazmi yang juga bekas Ahli Parlimen Machang menjadi pilihan memandangkan beliau  pernah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli pada 2007.

Bagi PKR pula, sudah pasti nama Pengerusinya, Abdul Aziz Kadir satu -satunya yang menjadi tumpuan untuk dilantik ke peringkat yang lebih tinggi.

Namun sumber Sinar Harian ketika dihubungi berkata, parti itu dikatakan mencadangkan Aziz yang juga bekas calon Dun Melor itu  sebagai senator sahaja.

Selain daripada itu, nama yang masyhur semasa PRU14 lalu, Nik Omar Nik Abdul Aziz juga dikaitkan dengan jawatan penting di peringkat persekutuan.

Walaupun dilihat masih baru dalam politik, ia bukan menjadi alasan utama, sebaliknya peranan singkat yang dimainkan Nik Omar semasa kempen PRU14 yang cemerlang khususnya kepada bukan Islam yang menyifatkan ia sebagai “anak butir”  Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengetua Tahfiz Darul Annuar itu dikaitkan dengan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama atau sekurang-kurangnya diletakkan  di Jakim yang  diketahui memerlukan tokoh yang bersifat terbuka dan mesra masyarakat bukan Islam.

Selain daripada jawatan menteri dan timbalan, pimpinan peringkat negeri juga akan terarah kepada jawatan pengerusi agensi kerajaan seperti Kesedar, Kada dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan lain-lain.

Ia dikatakan bakal di isi selepas semua lantikan menteri dan timbalan diselesaikan dalam masa terdekat.

Yang pasti, siapa yang bakal memegang jawatan ini, ia memerlukan keupayaan pemimpin itu sendiri dan bukan diangkat kerana atas lantikan politik semata-mata.