SHAH ALAM - "Sesiapa mengenali Mohd Redha Mohd, atau saudara tampil untuk menuntut wang kerana saudara telah tersilap memasukkan wang RM300 ke akaun syarikat suami saya,".

Demikian kenyataan dibuat oleh Ustazah Fatimah Salma Mohammed menerusi Facebook miliknya.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan termasuk berurusan dengan pihak bank bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut tetapi menemui jalan buntu.

"Perkara itu berlaku bulan September lagi, tetapi seakan tiada jalan penyelesaian. Akhirnya kami terpaksa memuatnaik di Facebook untuk mencari siapa Mohd Redha Mohd.

"Dia telah tersilap nombor akaun dan memasuki wang berjumlah RM300, lebih menyedihkan wang itu untuk maknya.

"Ini hak orang dan mungkin maknya memerlukan wang tersebut dan bila timbul perkara ini, ia mungkin meresahkan mereka," katanya.

Jelasnya, perkara itu hanya disedari selepas menerima penyata akaun daripada pihak bank baru-baru ini.

Justeru, beliau meminta bantuan netizen untuk membantunya mencari lelaki berkenaan dan sekiranya membaca statusnya, hubungi mereka dengan segera.