JOHOR BAHRU - Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyelar tindakan serbuan ke atas kediaman ibu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, Tun Rahah Mohammad Noah di Jalan Eaton, Kuala Lumpur, petang semalam.

Menurutnya, secara peribadi beliau amat kesal dengan perkara itu memandangkan ia tidak selari dengan konsep dan prinsip 'Rule of Law' yang sering dilaungkan oleh kerajaan PH.

"Sebagai sebuah negara berdaulat yang mengamalkan sistem demokrasi yang mana rata-rata rakyatnya yang cintakan keharmonian dan kedamaian. Tindakan yang menjurus kepada kaedah 'Police State' amatlah menjadi suatu mimpi ngeri kepada kita semua.

"Semoga ALLAH SWT memberi kekuatan kepada Najib serta keluarga beliau dalam menghadapi dugaan dan ujian getir ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahrir menegaskan yang haq pasti akan menang, sementara bathil akan binasa jua.