KANGAR - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim perlu hadir bersama peguam di Mahkamah Sesyen, di sini, Isnin ini, untuk menghadapi pertuduhan membabitkan kes cabul ke atasnya, baru-baru ini.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd mengesahkan perkara itu,  susulan menerima arahan daripada Pengarah Pendakwa Raya Negeri (PPN) kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ)  Perlis menyatakan tidak perlu menyempurnakan waran tangkap ke atas Shahidan di rumahnya.

"Arahan ini dikeluarkan kepada pihak kami selepas pertuduhan dibacakan semula oleh PPN di hadapan Hakim Sesyen Kangar oleh  peguam Syed Muhamad Anwar Syed Lokman Hakim mewakili anak guamnya (Shahidan).

"Syed Muhamad Anwar menyatakan beliau akan hadir semula bersama Shahidan pada sebutan waran tangkap pada 12 November ini , jam lebih kurang 9 pagi di Mahkamah Sesyen Kangar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, sebentar tadi.

Hari ini, Mahkamah Sesyen Kangar, mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, kerana gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan kes dipercayai mencabul seorang gadis bawah umur,  mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Waran tangkap dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Johari Abu Hassan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail membuat permohonan tersebut.

Bagaimanapun, Syed Muhammad Anwar  membantah pengeluaran waran tersebut kerana anak guamnya itu dan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah keluar waran tangkap terhadap Shahidan Kassim]

[ARTIKEL BERKAITAN: Remaja perempuan dicabul ahli politik Perlis]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kes siasatan ahli Parlimen cabul pelajar hampir selesai]

Dalam pada itu, berdasarkan status Facebook yang dimuat naik Shahidan semalam pada jam 8.09 malam, berada di Makkah dan baru selesai menunaikan umrah.

Baru-baru ini tular dakwaan Shahidan  mencabul seorang gadis berusia 15 tahun yang merupakan ahli kumpulan buskers yang ditaja oleh beliau.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau walau bagaimanapun, menafikan perbuatan yang didakwa dilakukan pada 21 Oktober lalu itu, malah laporan polis terhadapnya oleh remaja tersebut telah ditarik balik.

Bapa remaja itu turut menyatakan bahawa keluarga mereka telah memaafkan perkara tersebut.