KUALA LUMPUR - "Kementerian Kesihatan bersetuju untuk memperkenalkan garis panduan bagi ujian klinikal perubatan herba tahun depan," kata timbalan menteri berkenaan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Bagaimanapun, beliau berkata, garis panduan itu hanya akan dilaksanakan apabila kajian mendalam dan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai perkara itu selesai.

“Jika kita meneliti peraturan di bawah Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat, kos bagi hanya satu ujian perubatan herba boleh mencecah hingga berjuta-juta ringgit,dan ia mengambil masa bertahun-tahun sebelum satu ujian dapat disiapkan kerana proses ketat perlu dipatuhi di bawah FDA.

“Sebab itulah, semasa mesyuarat majlis, kita memutuskan bahawa Malaysia perlu mempunyai garis panduannya sendiri supaya kita boleh mengurangkan kos dan memendekkan masa dalam menghasilkan ubat-ubatan herba,” kata beliau selepas menutup Pameran Perdagangan dan Persidangan Herba Asia 2017, di sini hari ini.

Dr Hilmi berkata, perkara itu dibangkitkan semasa mesyuarat majlis yang ditubuhkan di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016, kerana garis panduan sedia ada mengenai ujian klinikal perubatan herba adalah berdasarkan FDA.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Dr Hilmi menarik perhatian bahawa perubatan herba perlu dibangunkan sebagai industri seperti industri pelancongan perubatan dan boleh mencatatkan pertumbuhan dua angka setiap tahun.

Beliau berkata, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga boleh memainkan peranan penting dalam membangunkan jenama herba tempatan dan global.

“Industri herba Malaysia mempunyai potensi besar bagi pertumbuhan kerana kita mempunyai kira-kira 20,000 spesies tumbuh-tumbuhan herba dan kira-kira 2,000 daripada spesies itu mempunyai nilai farmaseutikal," kata beliau.

Persidangan dua hari itu bertemakan “Towards A Sustainable Marketplace: Herbal Product Innovation, Natural Cosmetic and Halal Ingredient the Growing Industry', diadakan untuk mempromosikan acara-acara berkaitan herba termasuk sesi pemadanan perniagaan, persidangan herba dan program herba Asia. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, program 'Sweat Off Depression and Anxiety (Soda) yang merupakan initiative MyPerintis telah dilancarkan di Management Science University (MSU) di sini, semalam.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan sentiasa memantau makanan yang disyaki mengandungi bahan terlarang.
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan industri pelancongan kesihatan menjana pendapatan RM2.8 bilion menjelang 2020, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
  • BALIK PULAU - Kementerian Kesihatan menyifatkan wujud kekeliruan berhubung isu kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pengambilan pegawai perubatan UD41 sehingga ia menjadi kontroversi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.