KUALA LUMPUR – Setiap kawasan parlimen dicadangkan mempunyai sekurang-kurangnya satu institusi Sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang boleh menampung penduduk setempat.

Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran berkata cadangan itu adalah untuk mengatasi masalah kekurangan institusi vokasional dan teknikal dengan jumlah permohonan yang melebihi jumlah penawaran.

“Kita menghadapi pelbagai permasalahan mengenai TVET dan antaranya adalah kekurangan institusi vokasional dan teknikal untuk menampung jumlah pelajar.

“Hanya 17,000 (pelajar) ditawarkan tempat berbanding 66,000 permohonan pada 2016. Ini saya merujuk kepada jawapan Timbalan Menteri Pendidikan (Datuk P. Kamalanathan) di Parlimen dalam sidang tahun lepas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Prabakaran berkata beliau memandang serius isu ini kerana sedikit sebanyak membuktikan ramai anak muda yang mempunyai masalah dengan sistem pembelajaran konvensional tidak berpeluang menimba kemahiran teknikal dan vokasional.

Selain itu beliau berkata masalah  rasuah dalam dana Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) seperti yang dimaklumkan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran beberapa hari lalu turut memberi kesan kepada sistem TVET dan latihan secara menyeluruh.

“Penyaluran dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) merupakan satu daripada penyumbang kepada masalah graduan kerana dana yang tersekat telah menyebabkan 20,000 pelajar tidak dapat menyambung pelajaran di institusi-institusi TVET,” katanya.

Selain itu, pemegang Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang ditawarkan sistem persijilan institusi TVET dikatakan menghadapi laluan sukar untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan.

Isu berkenaan, katanya, telah menimbulkan kebimbangan besar golongan anak muda lebih-lebih lagi kepada mereka yang sedang belajar di TVET.- Bernama