PETALING JAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau mahu 'setiap orang dilayan baik’ berikutan persoalan timbul berhubung serbuan lewat malam di kediaman rasmi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Polis ada prosedur operasi standard mereka sendiri, saya tidak tahu mereka perlu melakukan serbuan di malam hari. Tetapi arahan saya sangat jelas, Saya tidak mahu menyeksa sesiapa atau perkara seperti itu. Saya mahu setiap orang dilayan dengan baik," katanya.

Bercakap selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini, Dr Mahathir ditanya tentang alasan polis melakukan serbuan di rumah Najib pada malam hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan pihaknya menggeledah kediaman bekas perdana menteri itu di Taman Duta malam tadi.

Tinjauan Bernama mendapati, 16 kenderaan polis dan sebuah trak memasuki kediaman Najib pada pukul 10.15 malam  bagi menjalankan siasatan dan susulan itu, kawasan sekitar kediamannya dikerumuni pengamal media tempatan dan asing selain orang ramai untuk mengetahui perkembangan terkini.

Polis dilihat turut menggeledah kediaman Najib di sebuah apartmen mewah di Jalan Raja Chulan di sini.

Mengenai serbuan itu juga, perdana menteri menjelaskan polis mungkin mempunyai alasan melakukan tindakan itu tetapi beliau tidak dimaklumkan alasan tersebut.

Ditanya sama ada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor turut disiasat susulan laporan polis merampas banyak beg tangan dalam serbuan itu, Dr Mahathir berkata, pihak berkuasa melakukan siasatan tanpa mengira sesiapa.

"Kalau ada kes kita ambil tindakan. Terpulang kepada mereka melakukan siasatan, siasatan ini melibatkan beberapa agensi kerajaan atau kementerian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Jabatan Audit Negara dan badan lain yang mempunyai maklumat," katanya.

Najib dan Rosmah disenaraihitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini.

Selasa lepas, Dr Mahathir berkata, beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Bernama