KUALA LUMPUR - Sepanyol tidak menyokong sebarang tindakan mendiskriminasikan minyak sawit oleh  Kesatuan Eropah (EU) berikutan langkah itu akan memberi kesan buruk kepada industri biodiesel negara tersebut.

Pendirian itu telah dimaklumkan oleh perwakilan daripada kerajaan Sepanyol pada mesyuarat dua hala bersama wakil-wakil kerajaan negara itu dalam rangka Misi Khas Rundingan Sawit Malaysia-Kesatuan Eropah, semalam.   

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong yang telah menghadiri tiga mesyuarat tersebut berkata pendirian kerajaan Sepanyol itu juga disebabkan adaptasi resolusi EU untuk mengharamkan  penggunaan  minyak sawit daripada perundangan Arahan Tenaga Boleh Diperbaharu (RED) menjelang 2021, tidak sejajar dengan undang-undang perdagangan bebas menurut World Trade Organisation (WTO).

"Saya mengalu-alukan komitmen daripada perwakilan kerajaan Sepanyol dan jika pengharaman ini menjadi perundangan EU, sebarang bahan alternatif untuk menggantikan minyak sawit akan mengakibatkan peningkatan kos yang tinggi.

"Peningkatan kos yang tinggi ini akhirnya bakal ditanggung oleh pengguna dan turut bakal mengakibatkan kerugian tinggi terhadap pemain industri biodiesel di Sepanyol," katanya dalam  kenyataan hari ini.

Pada mesyuarat tersebut, Mah telah menyuarakan kebimbangan dan pendirian teguh kerajaan Malaysia berhubung resolusi itu.

Beliau menegaskan kerajaan Malaysia menentang ketidakadilan melalui resolusi Parlimen EU yang mendiskriminasikan minyak sawit berbanding minyak sayuran lain serta resolusi itu bakal menjejaskan sumber pendapatan dan menekan 650,000 pekebun kecil sawit di Malaysia.

Dalam kalangan 28 buah negara EU, Sepanyol merupakan negara yang menggunakan ‘feedstock bio’ bahan bakar berasaskan sawit terbesar dengan peratusan sebanyak 70 peratus dan negara tersebut merupakan pengimport sawit kedua terbesar selepas Belanda dengan nilai tahunan hampir RM1 bilion.

Selain itu, perwakilan daripada kerajaan  Sepanyol turut memberi jaminan bahawa ia tidak akan menyokong dan menerima sebarang cadangan yang bertentangan dengan perundangan yang ditetapkan oleh WTO.

Dalam pertemuan berasingan pada Ahad, Mah turut mengadakan pertemuan khas dengan pengimport minyak sawit dari Sepanyol di Madrid.

Pada pertemuan itu, pengimport  sawit Sepanyol berharap kerajaan Malaysia terus menentang keras resolusi Parlimen EU dan mereka bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menangani persepsi negatif terhadap minyak sawit dalam kalangan pengguna.

Mah berkata Malaysia menghargai sokongan daripada pelbagai pihak termasuk daripada pemain industri dan Malaysia akan terus komited untuk memastikan industri sawit mendapat layanan yang adil.

Misi Rundingan Sawit Malaysia - EU akan diteruskan dengan siri perjumpaan bersama wakil-wakil kerajaan dan Pesuruhjaya EU di Belgium, United Kingdom, Jerman, Poland dan Itali. - Bernama