SHAH ALAM - Semua negeri di Malaysia telah mempunyai peruntukan undang-undang khusus berkaitan jenayah syariah lelaki berpakaian wanita di tempat awam.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, bagaimanapun sesetengah negeri menetapkan hukuman terlalu rendah iaitu dengan kadar denda RM1,000 seolah-olah ia suatu kesalahan yang ringan.

Katanya, faktor itu menjadi antara penyebab ramai lelaki yang berani berpakaian wanita.

"Pada zaman kini, golongan ini bukan sahaja berpakaian wanita di dalam rumah, tetapi mereka sudah berani berada di luar rumah. Malah mempromosikan diri di media sosial yang boleh ditonton oleh semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak," katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas undang-undang syariah berkaitan lelaki berpakaian wanita.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kelantan kenakan tindakan tegas terhadap pondan ]

Musa berpandangan, hukuman bagi kesalahan itu sepatutnya perlu setimpal dengan kesan perbuatan itu kepada masyarakat, kanak-kanak dan negara.

"Saya cadangkan hukuman dinaikkan kepada denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau disebat enam kali sebatan.

"Kerajaan negeri perlu pinda seksyen berhubung kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan dengan menaikkan kadar hukuman kepada hukuman maksimum," katanya.