PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan melaksanakan penilaian menyeluruh menerusi semakan jangka sederhana (mid-term review) terhadap program dan aktiviti dilaksanakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, penilaian itu bagi mengukuhkan pelaksanaan pelan pendidikan asas dan tinggi di negara ini.

“Ini untuk memastikan ia difahami pihak-pihak berkepentingan yang terlibat. Kita tidak mahu pelan yang dirangka dan dilaksanakan ini hanya difahami di peringkat kementerian sahaja.

“Pihak pelaksana misalnya guru, pensyarah, murid-murid dan golongan mahasiswa juga perlu memahami serta mendalami apa yang dihasratkan melalui pelan-pelan ini.

"Kefahaman golongan pelaksana di peringkat sekolah dan universiti akan menjadi tumpuan kita supaya apa yang dirancang berjalan dengan baik menerusi penglibatan mereka,” katanya menyampaikan amanat kepada pegawai-pegawai kanan kementerian ketika sesi Taklimat Khas Kementerian Pendidikan Malaysia, di sini, hari ini.

Justeru, Maszlee berkata, pihaknya akan mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak berkepentingan termasuk guru, pensyarah, murid-murid dan mahasiswa bagi memastikan hasrat reaksi mereka terhadap sistem pendidikan negara, dalam tempoh terdekat ini.

Dalam proses transisi ini, Maszlee berkata, beliau akan dibantu beberapa individu termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.

“Wan Saiful akan membentuk pasukan dalam pejabat menteri dalam tempoh terdekat ini,” katanya.