JAKARTA - Isu tuntutan bertindih beberapa sempadan wilayah Malaysia-Indonesia kemungkinan akan diselesaikan secara kesungguhan politik (political will) antara pemimpin dari kedua-dua negara berkenaan.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, penyelesaian menerusi kesungguhan politik adalah jalan terbaik kerana mesyuarat jawatankuasa teknikal berkaitan hal itu telah melalui jalan buntu.

"Perkara ini (isu tuntutan bertindih) adalah kompleks, ia ambil masa yang panjang dan jawatankuasa teknikal telah bermesyuarat kira-kira 28 kali dan telah buntu. Kemungkinan besar ia diselesaikan melalui political will," katanya.

Katanya, penyelesaian kesungguhan politik itu akan dibincangkan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Joko Widodo.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri majlis makan malam anjuran  Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim di kediaman rasmi Kedutaan Besar Malaysia di sini malam tadi.

Anifah dan para pegawai kanan kementeriannya berada di Jakarta bagi menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Untuk Kerjasama Bilateral (JCBC) ke-15 yang berakhir Jumaat lepas.

Mesyuarat itu turut membincangkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu wilayah sempadan darat dan laut antara kedua-dua buah negara yang tertangguh begitu lama.

Antara tuntutan bertindih itu ialah kawasan perairan Malaysia-Indonesia yang dikenali sebagai Ambalat iaitu sebuah blok perairan antara Sulawesi, Indonesia dan Sabah, Malaysia serta kawasan perairan di Selat Melaka.

Pihak berkuasa Indonesia sentiasa bertindak tegas termasuk merampas dan membakar bot nelayan Malaysia yang didakwa memasuki wilayah perairan negara itu.

Dalam kejadian terbaru pada 18 Julai lepas, pihak berkuasa Indonesia melepaskan beberapa das tembakan terhadap sebuah bot nelayan Sekinchan bernombor pendaftaran SLFA 5099 yang didakwa memasuki perairan negara berkenaan.

Nelayan Malaysia itu membantah arahan pasukan penguat kuasa maritim Indonesia kerana mendakwa mereka masih dalam perairan Malaysia malah mendakwa pihak berkuasa Indonesia yang menceroboh masuk ke kawasan perairan negara.

Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi membantah tindakan penembakan itu dan mendakwa pihak berkuasa Indonesia telah menceroboh perairan Malaysia serta menimbulkan kekecohan terhadap nelayan Malaysia.

Katanya, setelah gagal menahan bot nelayan itu, pasukan maritim Indonesia menahan pula dua buah bot nelayan Sekinchan SLFA 4641 dan SLFA 4948 di perairan Malaysia dan dibawa ke Langsa di Aceh.

Mengulas insiden terbabit, Anifah berkata punca kejadian ialah kerana kekeliruan kawasan sempadan perairan dan dalam mesyuarat JCBC itu juga Presiden Jokowi bersetuju dengan saranan Malaysia agar pihak berkuasa Indonesia tidak perlu bertindak secara kasar atau menggunakan senjata api terhadap nelayan yang mencari rezeki di laut.

Katanya, apa yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa negara itu ialah mengusir nelayan Malaysia terbabit dengan mengiringi mereka memasuki semula wilayah perairan negara.

Beliau berkata, isu tuntutan bertindih wilayah perairan sememangnya perlu diselesaikan dengan segera secara menyeluruh dan tidak harus dibiarkan berlarutan supaya nelayan dari kedua-dua buah negara dapat mencari rezeki dengan aman.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JAKARTA - INDONESIA. Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), sebuah badan bukan kerajaan, berkongsi pengalaman dengan Indonesia bagi menangani jenayah rasuah terutamanya dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran masyarakat.
  • JAKARTA - Semua pelajar Malaysia di Bali dilaporkan dalam keadaan selamat dan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia melakukan pemantauan secara berterusan berikutan perkembangan terkini berkaitan letusan gunung berapi Agung.
  • JAKARTA - INDONESIA. Masyarakat keturunan Bugis di Indonesia masih menunggu permohonan maaf secara terbuka daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mengeluarkan kenyataan ‘menghina’ keturunan etnik itu dalam satu perhimpunan pembangkang di Selangor baru-baru ini.
  • JAKARTA - INDONESIA. Rakyat Malaysia yang datang ke Bali sama ada untuk bercuti atau urusan lain, diingatkan sekali lagi agar memaklumkannya kepada Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di pulau itu bagi memudahkan komunikasi berikutan gunung berapi Gunung Agung masih berstatus ‘awas’.
  • JAKARTA - Malaysia sentiasa menganggap hubungan dua hala dengan Indoensia seperti hubungan dalam sebuah keluarga yang diumpamakan "air yang dicincang tak akan putus", kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.