KUALA LUMPUR - Selepas 'diserang' pagi tadi, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah membalas kritikan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman terhadapnya.  

Menurut Saifuddin, Anifah sebenarnya tidak faham maksud dasar luar Malaysia Baharu.

Ini susulan kritikan Anifah yang juga bekas Menteri Luar bahawa dasar luar Malaysia Baharu telah pun wujud sebelum ini.

"Dari mula saya jadi Menteri Luar, saya tak pernah kata ada dasar luar yang baharu. Perkataan dipilih ialah kerangka dasar luar Malaysia Baharu, bukan dasar luar baharu bagi Malaysia.

"Kalau ada orang tak faham Bahasa Melayu (BM), itu yang patut pergi sekolah. Bekas Menteri Luar tak faham BM," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul menentukan hala tuju dasar luar Malaysia Baharu seperti dinyatakan dalam ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-73 (UNGA) di New York, bulan lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ini nasihat saya sebagai bekas Menteri Luar ]

Saifuddin turut menjelaskan bahawa dasar luar negara merupakan kesinambungan daripada yang terdahulu.

"Saya sebutkan dengan jelas, ungkapan digunakan ialah perubahan dalam kesinambungan. Kesinambungan maknanya yang dulu itu ada lah.

"Saya harap tak timbul isu nafikan yang lalu. Saya dah sebut apa yang kekal, keberhasilan yang ingin dicapai dan apa perubahan dari segi prioriti dan pendekatan. Kena lihatnya dengan dada terbuka dan tak perlu defensif," katanya.

Mengenai nasihat Anifah supaya Menteri Luar sentiasa berbincang dengan pegawai Wisma Putra, Saifuddin berkata, perkara itu dilakukannya secara berterusan.

"Kita ada post and pre Cabinet meeting. Jangan main-main, nak tembak biar betul," katanya.

Susulan itu, Saifuddin berharap Anifah bersikap lebih beradab di dalam Dewan Rakyat selepas ini.

"Kalau tidak, saya malu jadi menteri luar menggantikan menteri luar yang ganas dan kasar macam ini," sindirnya.