SHAH ALAM - Satu jawatankuasa penyelaras Sekretariat SINAR4ROHINGYA ditubuhkan dalam mesyuarat di antara sekretariat dengan beberapa NGO terlibat di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Pengerusinya, Datuk Muhamad Noor Yacob berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan setelah mesyuarat itu mencapai kata sepakat.

“Dalam mesyuarat ini, kita setuju tubuhkan satu jawatankuasa penyelaras yang melibatkan enam wakil NGO dan urus setia sekretariat.

“Mereka bertanggungjawab memperincikan cadangan-cadangan, sekali gus memantau aktiviti NGO terlibat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jumaat lalu, sebanyak 105 NGO bergabung membentuk Sekretariat SINAR4ROHINGYA- Solidariti Untuk Kemanusiaan sebagai usaha menghentikan kekejaman terhadap etnik minoriti Rohingya di Myanmar.

Muhamad Noor berkata, satu rangka modus operandi turut diputuskan dalam mesyuarat tersebut.

“Pada majlis pelancaran Jumaat lalu, kita telah mendengar pandangan daripada NGO yang hadir mengenai keadaan terkini di Rohingya. Hari ini (semalam), kita telah dapat merangka modus operandi yang dapat membantu gerak kerja sekretariat.

“Yang pasti, sekretariat ini tidak akan duplicate aktiviti-aktiviti NGO sedia ada, sebaliknya peranan sekretariat ini untuk membantu dan memberi sokongan kepada NGO terlibat melalui pengagihan dana.

“Dana tersebut akan dibahagikan kepada NGO bergantung pada keperluan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Noor turut menasihati NGO supaya tidak melupakan objektif utama sekretariat itu yang diwujudkan untuk membantu pelarian Rohingya termasuklah yang berada di Malaysia.

“Kita perlu ingat tujuan utama sekretariat ditubuhkan adalah semata-mata untuk beri sokongan kepada NGO terlibat dalam misi bantuan warga Rohingya.

“Setakat ini, jumlah dana terkumpul lebih kurang RM200,000 namun jumlah tersebut masih belum dapat menampung keperluan pelarian tersebut. Justeru, sekretariat akan meneruskan usaha untuk capai objektif utama kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai memberi sumbangan.

“Sebagai sekretariat, kita pastikan sumbangan orang ramai akan diuruskan dengan sebaik mungkin supaya bantuan dapat disalurkan terus kepada warga Rohingya yang memerlukan,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam berjaya mengumpul dana kira-kira RM2,000 untuk disalurkan kepada etnik Rohingya di Myanmar.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.