KUALA LUMPUR - Kerajaan mengenakan larangan bagi kemasukan sejenis gula-gula lolipop kerana dipercayai mengandungi bahan kimia, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam.

Beliau berkata, Kementerian telah meningkatkan kawalan di pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan lolipop pendafluor itu.

“Bahan itu kini diletakkan pada tahap lima iaitu pengimportannya diletakkan di bawah syarat kebenaran, sebelum diletakkan pada tahap enam, di mana gula-gula itu, langsung tidak dibenarkan dibawa masuk,” katanya selepas merasmikan Karnival Kesihatan ‘Jom Sihat’ di Kolej
Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju semalam.

Beliau percaya lolipop itu dibawa dari luar negara kerana serbuan pihak penguat kuasa berdasarkan alamat pada pembungkus gula-gula itu, didapati palsu.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini, menggesa kerajaan mengharamkan penjualan gula-gula lolipop pendafluor kerana didakwa mengandungi bahan kimia berbahaya.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, bahan kimia terkandung pada batang pendafluor itu sangat berbahaya.

Menurut beliau, berdasarkan ujian oleh Institut Kebangsaan bagi Menguji Kebersihan dan Keselamatan Makanan di bawah Kementerian Kesihatan Vietnam, batang plastik lolipop itu mengandungi bahan seperti ftalat dan Poly Aromatic Carbon (PAH).

“PAH adalah sejenis bahan kimia yang bertoksik dan hanya digunakan untuk tujuan industri seperti mencairkan cat. Ia boleh menyebabkan kanser atau mutasi gen dalam manusia,” katanya.

Dalam pada itu, Liow berkata, gejala obesiti dalam kalangan penduduk Malaysia meningkat tiga kali ganda iaitu daripada 4.4 peratus pada 2006 kepada 15.1 peratus pada tahun lepas.

Sehubungan itu, penyakit kencing manis dalam kalangan penduduk negara ini juga menunjukkan trend peningkatan iaitu daripada 11.6 peratus pada 2006 kepada 15.2 peratus pada tahun lepas.- Bernama