KUANTAN – Aktiviti mengedarkan bible dalam bahasa Melayu perlu disekat agar tidak berleluasa dan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, aktiviti tersebut meskipun dilakukan secara kecil-kecilan namun jika tidak dibendung akan menggugat perpaduan kaum.

Menurutnya, jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan negara bahawa agama Islam adalah agama rasmi dan Persekutuan, maka tidak ada kompromi terhadap agama lain untuk disebarkan dan diedarkan secara terbuka dan umum.

“Apatah lagi jika ia dilakukan terhadap umat Islam. Perpecahan kaum bermula dari perkara yang kecil.

"Inilah yang berlaku apabila suara yang kecil tidak dikawal. Akhirnya apabila kita nak menyebarkan Islam itu, kita pula yang salah.

“Saya beri contoh, perkara kecil berkenaan pelekat kenderaan. Orang Islam boleh letak pelekat tulisan “Islam agama syumul” tapi orang bukan Islam tak boleh meletakkan sedemikian yang berkaitan dengan agama mereka. Jika ada, mereka patut ditangkap dan boleh didakwa.

“Tapi oleh sebab tidak ditangkap dan didakwa, maka tidak ada pengajaran. Mereka tidak tahu bahawa perbuatan penyebaran agama lain itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Hari ini apabila kita sebut soal agama Islam itu, seolah-olah kita pula yang bersalah. Hal ini seolah-olah menafikan undang-undang dalam Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di bangunan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (Muip) Pekan, di sini, semalam.

Sebelum ini tular dilaman sosial mengenai tindakan beberapa individu yang dikesan mengedar kitab bible di hadapan sebuah sekolah di Bukit Mertajam.

Aktiviti pengedaran kitab itu dilaporkan berlaku pada 2 November di antara jam 12.10 hingga 12.30 tengah hari semasa tamat sesi persekolahan.

Difahamkan lebih 200 buku kitab 'New Testament' telah diedarkan kepada hampir 200 orang pelajar termasuk yang beragama Islam di sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sesiapa yang menghuraikan kepada orang ramai apa-apa ajaran atau menjalankan apa-apa perbuatan berkaitan, yang berlawanan dengan hukum syarak adalah melakukan satu kesalahan.

Menurutnya, apabila sabit akan kesalahan itu boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan.

“Kita sudah ada peraturan. Jika kita mencadangkan supaya diambil tindakan, maka kerajaan kena ambil tindakan.

"Kenapa kita segan silu dan nak bertolak ansur dalam perkara sebegini. Apabila Perlembagaan menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan, ertinya orang Islam ada lesen untuk menyebarkan Islam.

“Orang Islam tidak paksa orang bukan Islam masuk Islam. Soal mereka nak masuk atau tidak itu pilihan mereka," katanya.

Jelasnya lagi, kita menerangkan bahawa Islam itu adalah agama Persekutuan yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

" Itu tidak salah. Di sekolah atau di mana pun orang tak boleh persoalkan. Itu adalah hak agama Islam, kerana ia adalah agama Persekutuan.

"Kita mahu masyarakat bukan Islam faham akan Islam dan mereka tidak boleh pertikaikan,” tegasnya.