KUALA LUMPUR - Tindakan lebih tegas terhadap majikan yang memperlakukan pembantu rumah seperti hamba perlu diambil sebagai pengajaran kepada majikan yang mementingkan diri.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay, berkata, kes pembantu rumah yang dipercayai didera sehingga meninggal dunia di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, amat menyedihkan dan menyifatkan ia sebagai tindakan melampau tidak berperikemanusiaan.

Menurutnya, walaupun sudah ada garis panduan dan amaran oleh kerajaan, kes penderaan pembantu rumah masih berlaku.

"Tidak kira dari negara manapun, pembantu rumah juga manusia. Pihak majikan tidak patut ambil kesempatan dan dera mereka jadikan seperti hamba.

"Kami gesa pihak berkuasa untuk ambil tindakan segera terhadap majikan terbabit,"katanya selepas membuat laporan polis di IPD Sentul, di sini, hari ini.

Laporan dibuat terhadap majikan yang dipercayai mengakibatkan kematian seorang pembantu rumah wanita indonesia di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Mangsa, dikenali sebagai Adelina, 21, berasal dari Medan, Indonesia disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.45 petang 11 Februari lalu selepas mengalami kecederaan parah dibeberapa bahagian badan.

Sehari sebelum itu, wanita berkenaan diselamatkan pihak berkuasa selepas menerima laporan daripada pembantu seorang wakil rakyat di Bukit Mertajam.

Polis menahan reman seorang wanita dan abangnya berusia 36 dan 39 tahun yang merupakan majikan kepada wanita dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BAGAN DATUK - Malaysia berharap Indonesia tidak memberhentikan penghantaran pembantu rumah berikutan kes penderaan sehingga membawa maut yang berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini kerana ia merupakan kes terpencil.
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap majikan disyaki mendera pembantu rumah warga Indonesia sehingga menyebabkan kematian, supaya keadilan dapat ditegakkan.
  • PUTRAJAYA - Majikan boleh berjimat lebih 90 peratus dalam pengambilan pembantu rumah asing secara dalam talian mulai 1 Januari depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  • BAGAN DATUK - Pengambilan terus pembantu rumah asing daripada sembilan negara sumber melalui permohonan atas talian dapat membantu majikan menjimatkan kos sehingga 50 peratus.