KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan bersedia membuka pusat peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baharu sekiranya terdapat pusat peperiksaan yang terjejas akibat bencana alam, kata Timbalan Menterinya Teo Nie Ching.  

Beliau berkata kementerian melalui Lembaga Peperiksaan telah mengadakan mesyuarat khas bersama semua agensi keselamatan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sebagai persediaan sekiranya berlaku bencana alam sepanjang berlangsungnya peperiksaan tersebut.   

"Jika berlaku kejadian tak diingini,  peperiksaan tetap diteruskan dan kita bersedia memindahkan calon ke pusat peperiksaan lain sekiranya pusat peperiksaan sedia ada mengalami kerosakan dan tidak dapat digunakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Kebangsaan Pengurusan Pendidikan 2018 di sini,  hari ini.  

Nie Ching berkata sebanyak 8,100 pusat peperiksaan akan dibuka bermula Khamis ini (20 September) sehingga 27 September bagi menempatkan seramai 440,743 calon UPSR sepanjang peperiksaan itu berlangsung.

Katanya kementerian juga akan sentiasa memastikan keselamatan calon peperiksaan menjadi keutamaan. – Bernama