KLANG - Kerajaan negeri Selangor akan memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyalahgunaan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) berjumlah RM200 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban serta mengambil sikap terbuka mengenai sebarang aduan.

"Semua boleh lihat, tidak mungkin jika ada rasuah dan salah guna kuasa, Selangor boleh mencapai tahap seperti sekarang, rizab meningkat dan tahap pengurusan kewangan yang kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Smart Trak, Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik dan Bekas Polisterin anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan KDEB Waste Management (KDEBWM) Sdn Bhd di sini hari ini.

Mohamed Azmin mengulas laporan SPRM yang dibuat Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos semalam berhubung dakwaan penyalahgunaan dana SMUE berjumlah RM200 juta.

Jamal berkata laporan itu dibuat bertujuan mendesak SPRM menyiasat beberapa persoalan yang timbul berkaitan dana awam tersebut yang didakwa disalurkan kepada anggota Parlimen tertentu di daerah-daerah Hulu Langat, Gombak dan Petaling Jaya.

Menurut Mohamed Azmin, SMUE adalah sebahagian daripada program merakyatkan ekonomi Selangor sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa pada 2008.

Dalam perkembangan lain, beliau memuji keupayaan MPK menguruskan masalah pengurusan sisa pepejal dengan efektif.  

Katanya kerajaan negeri memperuntukkan RM45 juta tahun ini kepada KDEBWM untuk menguruskan sisa pepejal di Selangor. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Setelah lebih empat jam hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Tan Sri Isa Samad menyerahkan kepada pihak berkuasa itu untuk melakukan siasatan berhubung kontroversi yang melanda FGV.
  • KUALA LUMPUR - Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Datuk Zakaria Arshad menyatakan kesediaannya untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung urus niaga oleh anak syarikat FGV Delima Oil Produk Sdn Bhd.