SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sentiasa bersedia sekiranya Datuk Dr Nasharudin Mat Isa mahu mengambil tindakan perundangan terhadapnya berhubung dakwaan bekas Timbalan Presiden Pas itu mendapat dana 1MDB daripada akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, sekiranya beliau disaman 'itulah masa yang ditungu-tunggu olehnya'.

"Jika beliau (Nasharudin) ingin menyaman saya, saya akan menunggu untuk menyoal siasat beliau di dalam kandang saksi kerana orang yang menyaman adalah orang yang pertama yang perlu beri keterangan di dalam kandang saksi.

"Saya ada beratus-ratus soalan yang akan ditanyakan mengenai penglibatan beliau dalam melobi pimpinan Pas supaya menjadi lunak dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, sehingga Pas dilihat tidak lantang memperjuangkan keamanahan Perdana Menteri dalam skandal 1MDB," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rafizi dedah nama tokoh Pas terlibat dengan 1MDB]

Semalam, Nasharudin menafikan ada kaitan berhubung dakwaan Rafizi yang mengaitkan beliau dengan isu penerimaan dana tersebut.

Ujarnya, kenyataan Rafizi yang mengaitkan beliau dengan isu itu adalah tidak benar malah kenyataannya itu adalah fitnah dan berniat jahat kepadanya dan Pas.

Oleh itu, beliau menafikan dengan sekeras-kerasnya pernah menerima apa jua bentuk bayaran atau sumbangan daripada sumber-sumber seperti yang dinyatakan oleh Rafizi.

Tambah Nasharudin lagi, beliau bersedia untuk bekerjasama dalam sebarang siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ujarnya lagi, beliau juga telah menyerahkan kepada pasukan peguam untuk langkah seterusnya termasuk memulakan tindakan undang-undang dan apa jua tindakan menurut lunas undang-undang yang mana dianggap wajar dan suai manfaat.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tuduhan Rafizi fitnah, berniat jahat: Nasharudin]

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sementara menunggu proses saman yang mungkin memakan masa, beliau menyarankan Nasharudin  mengambil jalan yang lebih mudah dan menunjukkan keyakinan kepada 'kebenaran yang kita pegang'.

"Saya sarankan Nasharudin membuat satu akuan berkanun mengisytiharkan semua harta, pendapatan dan sumbangan kepada beliau secara peribadi serta semua organisasi yang beliau terajui seperti Yayasan Nassar dan mana-mana projek lain," katanya.

Kata Rafizi lagi, Nasharudin juga perlu perincikan di dalam akuan berkanun bagaimana harta, pendapatan dan sumbangan ini dibelanjakan dan kepada siapa wang yang disumbangkan kepada beliau dibelanjakan.

"Saya sarankan beliau buat akuan berkanun itu bagi setiap tahun dari tahun 2012 ke atas sehingga 2017.

"Pengisytiharan itu tidaklah susah kerana saya melakukannya setiap tahun, tetapi beliau perlu juga sedar ada beratus akauntan dan peguam yang akan meneliti satu persatu ayat di dalam akuan berkanun itu. Jika ada maklumat yang tidak tepat, akan ada rakyat Malaysia yang membuat laporan polis terhadap beliau dan beliau boleh dipenjara," katanya lagi.

Tambah Rafizi, beliau yakin dengan kebenaran maklumat yang beliau terima dan harta yang beliau isytiharkan.

"Sebab itu saya menggunakan kaedah Akuan Berkanun sepanjang masa," katanya.

Katanya, kalau Nasharudin juga yakin beliau tidak menerima satu sen pun dari mana-mana sumber yang berasal dari SRC Internasional Sdn Bhd, beliau perlu mengisytiharkan pendapatan, harta dan semua sumbangan yang diterima beliau dalam bentuk akuan berkanun dengan segera.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - “Kalau orang yang tak punyai penjelasan atau pengetahuan tentang isu ini pasti akan percaya 100 peratus,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
  • KUALA LUMPUR - Sikap Pengarah Invoke Malaysia, Rafizi Ramli yang disifatkan sebagai pembohong tegar akan meruntuhkan kredibiliti pembangkang.
  • KUALA LUMPUR - Seramai 47 orang ahli Parlimen dari Pakatan Harapan, Pas dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menandatangani petisyen bagi mendesak Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menarik diri daripada semua pelaburan di Myanmar sebagai pembelaan terhadap nasib etnik Rohingya yang ditindas di sana.
  • SHAH ALAM - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim mengakui Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli seorang yang rajin, lebih-lebih lagi dalam isu berkaitan Felda.
  • ISKANDAR PUTERI - Pendedahan berkenaan isu pemilikan Grand Plaza Serviced Apartments di London oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli disifatkan sebagai ketinggalan zaman dan hanya untuk disensasikan.