KUALA LUMPUR - Isu penyebaran berita palsu merupakan masalah yang dihadapi secara global ekoran revolusi teknologi komunikasi yang berkembang dengan pesat dan terlalu pantas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata fenomena itu akan berterusan dan menjadi cabaran utama dalam usaha mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan penyebaran maklumat.

“Secara analogi, selagi dunia ini ada internet, isu ini akan berleluasa dan berterusan dan ia akan memberikan cabaran yang lebih hebat di masa akan datang dan semua pihak perlu bekerjasama untuk menghadapinya,” kata Salleh dalam jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Khairudin Samad yang meminta penjelasan bagaimanakah pihak kementerian memantau dan mencegah penyebaran berita palsu dalam media sosial oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang ia akan menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat.

Salleh berkata kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan mengambil pendekatan berbilang serampang dalam menangani gejala penularan kandungan serta berita palsu di platform media sosial, laman sesawang dan internet amnya.

“Masyarakat harus menyedari bahawa dengan cabaran kemajuan teknologi antaranya Pengkomputeran Awan  dan Teknologi Inkripsi, tindakan penguatkuasaan bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian bagi menangani isu tersebut.

“Apa yang lebih utama adalah pendidikan dan kesedaran awal kepada pengguna dalam memastikan platform digital digunakan secara berhemah dan bijaksana,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh berkata penekanan harus diberikan kepada aspek kawalan kendiri yang tinggi supaya semua pihak menyedari tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam menggunakan internet dan media sosial dengan bijaksana serta berhemah.

Di bawah Seksyen 3(3) Akta 588, ia memberi jaminan tiada tapisan internet oleh kerajaan, namun demikian jaminan tiada tapisan tersebut tidak bermakna mana-mana pihak bebas melakukan kesalahan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira batasan undang-undang, katanya.

Beliau berkata peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta 588, boleh digunakan bagi tujuan menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan kesalahan penyebaran berita palsu, menanam perasaan kebencian dan memfitnah.

“Pihak SKMM secara khusus memantau perkembangan dan penyalahgunaan internet serta mengambil tindakan berlandaskan peruntukan Seksyen 233 Akta 588, yang melarang penyebaran kandungan berbentuk sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik.

“Pihak yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya. –Bernama