SHAH ALAM - Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah menyatakan belum menerima sebarang surat lantikan bagi jawatan menteri Kabinet.

Katanya, setakat hari ini beliau tidak menerima apa-apa perkhabaran rasmi mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak menerima apa-apa perkhabaran rasmi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian menerusi WhatsApp, hari ini.

Berdasarkan laporan Malaysiakini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  telah menyerahkan 15 lagi nama anggota Kabinet tambahan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Laporan tersebut turut menyebut Saifuddin akan memegang portfolio Kementerian Luar.

[ARTIKEL BERKAITAN: 15 lagi nama diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong]

Ditanya adakah beliau mengetahui tentang proses penyerahan nama bagi 15 lagi anggota Kabinet, Saifuddin berkata, beliau tidak pasti mengenai perkara tersebut.

Ditanya adakah beliau bersedia menggalas tugas sebagai Menteri Luar sekiranya benar dilantik, Saifuddin tidak memberikan sebarang respons terhadap soalan tersebut.