IPOH - Satu kes baharu gigitan kucing bertuan dilaporkan di Kampung Mentari, Kuala Sepetang, di Taiping, semalam.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Perak Dr Fuziah Muhayat berkata, mangsa gigitan, seorang wanita berusia 41 tahun yang juga pemilik kucing itu, telah mendapat rawatan di Pusat Kesihatan Kuala Sepetang.

"Pemeriksaan klinikal telah dibuat dan mendapati tiada petanda klinikal pada kucing tersebut.

"Tindakan kuarantin dan pemerhatian klinikal akan dilakukan ke atas kucing itu sehingga tempoh 14 hari," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada 4 Julai lepas, dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang digigit anjing peliharaan mereka sebelum haiwan itu mati lapan hari kemudian.  

Fuziah berkata, 59 rumah di dalam satu kilometer (km) radius dari lokasi kes rabies sebelum ini telah dibuat bancian dan survelan aktif di daerah Larut Matang dan Selama.

"Didapati bilangan anjing bertuan adalah seekor manakala anjing tidak bertuan (anjing liar) sebanyak lima ekor. Tiada sebarang petanda klinikal dikesan pada semua haiwan terbabit," katanya.

Fuziah berkata, program pemvaksinan juga telah dijalankan dalam 1km radius, bermula pada hari ini dan 1,000 dos vaksin rabies dihantar ke DVS Perak.         

"Program kempen kesedaran dalam 1km radius juga telah dijalankan dengan memberi penerangan dari rumah ke rumah kepada 59 orang pemilik haiwan," katanya sambil menambah 48 kakitangan jabatan itu terlibat dalam program hari ini.

Sementara itu, dua kanak-kanak perempuan yang digigit anjing peliharaan di Kuala Sepetang telah mendapat vaksin rabies dos pertama dari pihak hospital berdekatan dan dibenarkan pulang ke rumah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu program hari ini berkata, Kerajaan Perak mewartakan mukim Matang dalam daerah Larut Matang dan Selama sebagai kawasan penyakit anjing gila atau rabies, berkuat kuasa hari ini.

Katanya, pewartaan itu dikeluarkan di bawah Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SIBU - Orang ramai di Sibu diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dan panik dengan khabar angin yang tular di media sosial menyatakan penyakit anjing gila atau rabies sudah mula merebak di bandar itu.
  • KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengisytiharkan dua lagi kawasan baharu wabak anjing gila atau Rabies yang didapati positif iaitu di kawasan Kampung Entubuh, Tebedu dan Batu 5, Jalan Semeba, Kuching.