SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menyasarkan peningkatan sumbangan usahawan Melayu dan bumiputera kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 70 peratus dalam tempoh lima tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata setakat ini, sumbangan golongan itu termasuk daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih rendah iaitu kurang daripada 30 peratus.

“Ini satu cabaran bagi kami... untuk capai sasaran ini kita wujudkan beberapa program contohnya tahun depan kita wujudkan program ROAD (Reach Out Adopt) Intrepreneur Road To Success, kalau usahawan libatkan diri dalam industri perkilangan dan tidak punyai pasaran yang cukup untuk mengambil pulangan menguntungkan di situlah bantuan atau pemudah cara yang kita boleh wujudkan

“Kita juga ada Magic (Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia) untuk kita komersilkan idea usahawan bagi menarik pelabur dan kita juga ada koperasi yang kita boleh wujudkan dana selain dana yang ada, dan dengan cara begitu wujud kerjasama antara kerajaan dengan masyarakat dan sektor swasta supaya kita dapat sama-sama majukan ekonomi negara kita,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera dan Pelancaran Mini Pusat Sehenti Keusahawanan (PSK) Selangor yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dan Ketua Setiausaha MED Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Konvensyen itu merupakan siri keenam selepas diadakan di Sarawak, Sabah, Kelantan, Melaka dan Kedah dan merupakan inisiatif MED untuk berkongsi serta mendapatkan pandangan usahawan tempatan susulan daripada resolusi ‘Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018’ yang diadakan pada 1 September lepas di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sering menyebut bahawa Malaysia perlu menjadi sebuah negara pengeluar, justeru adalah mustahak untuk program melibatkan usahawan tempatan khususnya bumiputera dan Melayu dibangunkan.

“Kita wujudkan kembali projek kereta nasional baharu (yang) merupakan asas kita untuk bangunkan usahawan supaya mereka boleh bangunkan kereta nasional yang baharu, ini kerana konsep kereta nasional baharu ini berbeza daripada konsep terdahulu.

“Kita rangsangkan untuk bangkitkan semula vendor automotif yang saya rasa hari ini banyak resah dan telah mengadu kepada kita bahawa perniagaan mereka makin lama makin menurun dengan adanya penstrukturan semula Proton. Jadi dari situ usahawan tempatan khususnya bumiputera dan Melayu kena ubah suai dengan perubahan persekitaran,” katanya.

Mohd Redzuan sebelum ini dilaporkan berkata projek kereta nasional baharu dijangka melancarkan model pertamanya sebelum 2020 dan dirancang memasuki pasaran dunia bagi memenuhi permintaan daripada generasi muda.  – Bernama