PETAH bercakap menggunakan loghat Kelantan, Saranya Aloomalai, 22, berasa bertuah dilahirkan dalam masyarakat Melayu dan Cina yang tinggal di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Dia yang dilahirkan di Hospital Kota Bharu (kini dikenali sebagai Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), hidup dalam suasana perkampungan Melayu Kelantan sejak kecil bersama ibunya, Tawamoney Vallu, 55.

Belajar IT di PI1M Buluh Kubu

Mengenalinya di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Buluh Kubu, Kota Bharu, Saranya tidak janggal bergaul dengan kaum Melayu, Cina, Siam yang juga mencari maklumat dan isu semasa menerusi internet percuma disediakan di situ.

Katanya, dia jika ada masa terluang, dia gemar ke PI1M kerana boleh mencari pelbagai maklumat terutamanya kerja kosong.

"Sehingga kini saya masih mencari kerja, sebab nak bantu keluarga.

“Di sinilah saya dapat jumpa rakan lain, ada pelajar yang menyiapkan kerja kursus sekolah, ada guru yang menguruskan tugasan, manakala ada kanak-kanak mempelajari subjek berkait dengan komputer,” katanya.

Di tempat berkenaan, Saranya dapat bertemu Winnie Wee, 52, dari Kampung Chat yang juga kerap ke situ untuk menyewa notebook, manakala Casandra Wee, 49, peniaga barangan hiasan perak di pasar raya sering mengunjungi PI1M Buluh Kubu untuk mendapatkan maklumat mengenai perniagaan.

“Kami gemar datang ke sini kerana ia lain daripada yang lain, ada pelbagai kaum Melayu, Cina, India dan Siam yang semuanya bercakap dalam loghat Kelantan,” katanya.

Di situ juga ada guru, Choy Li Yien, 50, yang berjalan kaki dari Jalan Kelochor untuk berkumpul bersama-sama terutama pada waktu petang mencari maklumat di internet sambil menemani anaknya menyiapkan kerja sekolah menggunakan komputer.

Ia diakui Pengurus PI1M Buluh Kubu, Nadia Nabila Che Ruzalan yang teruja dengan kehadiran pengunjung pelbagai bangsa dan agama.

“Mereka saling kenal-mengenali antara satu sama lain, berkongsi idea untuk menyelesaikan kerja masing-masing dan saya gembira dengan kehadiran semua,” katanya.

Mendiang bapa disegani orang Melayu

Mengenai keluarganya juga, Saranya berkata, bapanya mendiang Aloomalai Leksmanan, 66, sudah pun meninggal dunia tahun lalu akibat kegagalan buah pinggang, malah mendiang yang juga peniaga barangan runcit di Stesen Keretapi Wakaf Bharu, Tumpat amat disegani semua kaum.

“Saya lahir dalam masyarakat Melayu Kelantan, pandai cakap loghat Kelantan, malah rakan-rakan saya baik di Padang Tembak, juga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1 semuanya adalah Melayu.

“Di sekolah, boleh dikatakan saya jadi tumpuan kerana saya seorang sahaja berbangsa India, jadi mereka suka tengok saya dan cuba mendekati. Mungkin mereka ingat saya tak pandai kecek (cakap) Kelantan,” katanya tersenyum.

Ibunya berasal dari Pulau Pinang, manakala bapanya berasal dari Tanah Merah dan mereka berhijrah ke Pengkalan Chepa dengan dua lagi keluarga (bapa saudara) yang tinggal berdekatan.

“Semasa kematian bapa, ramai orang Melayu, Cina serta Siam datang menziarahi kami sebab kami bergaul dengan semua orang, jadi mereka dah anggap seperti keluarga mereka,” katanya.

Cara hidup macam orang Melayu

Saranya bercerita, dalam kehidupannya seharian, boleh dikatakan mereka sekeluarga mengamalkan cara hidup seperti orang Melayu.

“Saya suka pakai baju kurung jika ada majlis kenduri atau program rasmi, saya pakai bergilir dua pasang baju kurung yang saya miliki.

“Makan pun saya makan budu dan lauk kegemaran saya ialah gulai ikan patin masak tempoyak. Kami juga ajar orang Melayu dan Cina makan kari. Hidup ini perlulah saling sentiasa toleransi dan saling menghormati,” katanya.

Anak bongsu daripada empat beradik ini masih mencari peluang pekerjaan yang berdekatan rumah dengan alasan dia mahu menjaga ibunya yang sudah uzur iaitu sakit lutut di rumah, yang kadang kalanya dibantu jiran Melayu berdekatan.

“Saya ada sijil pastri dari Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka, tetapi saya lebih gemar mencari kerja dalam bidang pengurusan di mana-mana syarikat atau jabatan kerajaan,” katanya.

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUISI dan sajak sinonim dengan penglibatan kaum Melayu kerana ia merupakan satu cabang sastera yang unik dan istimewa.
  • KEHIDUPAN satu keluarga terdiri daripada penganut tiga agama yang tinggal satu rumah di Lorong Selamat, Belakang Gudang bandar Jertih di sini pernah mendapat perhatian ramai.
  • TAHU membaca doa, melaungkan azan, malah tidak kekok membaca surah Al-Fatihah.
  • “PENGHUNI di sini terdiri pelbagai kaum. Ada Cina, Melayu dan India namun bagi saya, kami adalah satu keluarga besar dan tak pernah menjadikan perbezaan bangsa dan agama sebagai batasan.
  • DIA beragama Hindu, manakala isterinya pula beragama Kristian. Namun, bagi A.Mahayesan, 51, dia sudah biasa bergaul dengan masyarakat Melayu beragama Islam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.