COX'S BAZAR, BANGLADESH - [VIDEO] Sambutan gerai roti paratha 'Kedai Village of Hope' di Kem Pelarian Balukhali amat luar biasa! mana tidaknya gerai yang hanya beratapkan daun lalang dan bertiangkan buluh itu pasti menjadi tumpuan pelarian setiap hari.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim,  Mohd Hakim Mohd Nor berkata, inisiatif membuka gerai itu adalah sebahagian daripada projek ekonomi dicetuskan menerusi dana SINAR4ROHINGYA kelolaan akhbar Sinar Harian.

"Kami terkejut sebulan je buka kedai ni, setiap hari lebih kurang 200 pelanggan datang. Sehari 7 ke 10 kilo adunan habis. Kami bayar tiga pekerja, tukang masak, casher dan tukang hidang. Lepas tolak kos, dapat untung dalam RM200," katanya.

Menurutnya, gerai ini mula beroperasi selepas solat Subuh dan akan dipenuhi pelanggan hingga malam malah mereka jadikan gerai ini sebagai tempat perbincangan dan pusat pertemuan disebabkan lokasinya yang strategik.

"Insya-ALLAH sebulan boleh dapat untung dalam RM6,000 dan keuntungan semua diserahkan kepada madrasah yang ditaja oleh Serantau Muslim dalam projek SINAR4ROHINGYA ini.

"Jika kebanyakkan gerai dalam kem ini pasang file-filem hindustan sebagai hiburan, tapi kami di sini akan memasang MP3 bacaan al-Quran sekali gus dapat berdakwah kepada mereka dan mewujudkan suasana yang baik," katanya.

Untuk itu, teruskan menyumbang di Tabung SINAR4ROHINYA menerusi akaun Maybank (503033634355) Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Bantulah atas nama kemanusiaan, bantulah atas nama agama dan bantulah atas nama keikhlasan!.