MASJID TANAH - [VIDEO] Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyambut baik keterbukaan Arab Saudi yang membenarkan wanita berusia 25 tahun dan ke atas masuk ke negara itu dengan menggunakan visa pelancong.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata, kelonggaran yang diberikan negara itu sememangnya sesuatu yang dinantikan memandangkan rakyat Malaysia sering ke Arab Saudi terutama bagi mengerjakan ibadah umrah dan haji setiap tahun.

Menurutnya, Kementerian Luar Negeri juga diminta mengeluarkan kenyataan secara rasmi berhubung perkara itu kerana sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang pengesahan dari pihak berkenaan walaupun berita tersebut telah tersebar dalam media tempatan dan antarabangsa sejak minggu lalu.

"Kalau sebelum ini hanya 45 tahun dan ke atas sahaja dibenarkan masuk ke Arab Saudi menggunakan visa pelancong dan saya percaya berita baik ini akan menambahkan kedatangan rakyat negara kita ke sana.

"Saya harap lebih ramai yang dapat mengerjakan umrah dan haji, selain melancong dan itu juga menunjukkan sikap keterbukaan Arab Saudi terhadap golongan wanita," katanya.

Mas Ermieyati berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai perarakan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Masjid Tanah 1439H di Masjid Jamek Putra, di sini, pagi tadi.

Sebelum ini jurucakap Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) mengeluarkan kenyataan, Wanita berusia 25 tahun dan ke atas kini dibenarkan masuk ke Arab Saudi menggunakan visa pelancong.

Bagaimanapun, Arab News melaporkan kebenaran itu tidak membabitkan wanita berusia 25 tahun ke bawah, dan mereka perlu ditemani ahli keluarga atau mahram untuk masuk ke negara itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Disenaraikan di tahap terendah dalam sistem ranking keselamatan dan sekuriti yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat menunjukkan Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk aspek-aspek keselamatan di kalangan pelancong.
  • PUTRAJAYA - Bermula 27 Disember ini, pemegang semua jenis pasport Malaysia boleh memasuki Maghribi selama 90 hari tanpa visa.
  • GURUN - Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani masalah visa bakal jemaah sehingga menyebabkan penerbangan mereka ke tanah suci tertunda.
  • KUALA LUMPUR - Seramai 178 daripada 229 bakal jemaah haji yang menghadapi kesulitan penerbangan ke Tanah Suci akibat kelewatan visa selamat berlepas ke Makkah, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah.