PUTRAJAYA - Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (Witus), menyambut baik cadangan kerajaan untuk menguatkuasakan tindakan sekatan bank ke atas bekas suami jika didapati mengabaikan perintah bayaran nafkah kepada bekas isteri yang diceraikan.

Presidennya Sheila Tukiman, berkata langkah tersebut disokong 300 peratus meskipun kaedah sekatan yang akan dilaksanakan belum diperjelas menteri bertanggungjawab.

Beliau berkata, isu tunggakan nafkah kepada bekas isteri sememangnya menjadi masalah majoriti wanita yang bercerai kerana ramai bekas suami cuba lari dari tanggungjawab memberi nafkah.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bekas suami gagal bayar nafkah bakal berdepan sekatan bank]

"Hampir semua ibu tunggal berdepan masalah ini meskipun mahkamah telah mengeluarkan perintah jumlah nafkah yang perlu diberi kepada bekas isteri untuk urusan anak-anak.

Puas dijejaki, ramai yang masih ingkar malah walaupun mahkamah memerintahkan potongan gaji dibuat, ada bekas suami yang sanggup berhenti kerja bagi mengelakkan potongan ke atas gaji mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sekatan bank yang boleh dilaksanakan adalah dengan kaedah memotong terus dari akaun bank bekas suami untuk disalurkan kepada akaun bekas isteri.

"Pihak berkuasa perlu melaksanakan jaringan kerjasama dengan pihak bank untuk tindakan itu dan perkara itu dilihat sebagai satu kaedah efektif dalam membela nasib kaum wanita," tegasnya.

Tambahnya, yang paling mustahak, sekatan bank itu perlu dilaksanakan seawal mungkin selepas sahaja kes cerai difailkan di mahkamah.

"Sekatan bank wajar dilakukan lebuh awal, bukan sehingga selesai proses perbicaraan tuntutan nafkah.

Ini kerana proses perbicaraan memakan masa yang terlalu lama, bertahun-tahun dan ada yang mengambil masa sehingga sepuluh tahun," katanya.

Ujarnya dalam tempoh perbicaraan itu pula, kaum wanita terpaksa melalui detik sukar malah ada juga yang sudah 'move on', mula bekerja dan berniaga kerana sudah berhenti berharap daripada mendapat hak mereka.

Selain itu, katanya satu langkah yang mungkin sesuai dilaksanakan adalah melalui jaringan kerjasama  dengan pihak Jabatan Imigresen untuk menyekat bekas suami yang ingkar menjelaskan nafkah daripada ke luar negara.