PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan telah membentuk sebuah Jawatankuasa Siasatan Khas bagi melengkapkan maklumat siasatan awal oleh badan siasatan bebas berhubung dakwaan salah laku seksual oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital kerajaan di Lembah Klang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata jawatankuasa itu ditubuhkan pada 24 September lepas susulan daripada laporan yang dikeluarkan oleh badan siasatan bebas itu pada 18 September.

Katanya langkah itu bagi membolehkan pertimbangan dibuat berhubung tindakan tatatertib yang wajar diambil ke atas ketua jabatan berkenaan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Jawatankuasa Siasatan Khas ini diberikan tempoh selama sebulan bagi melengkapkan siasatan sebelum laporan lengkap dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pertimbangan pihak berkuasa yang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dzulkefly, badan siasatan bebas yang ditubuhkan sebelum ini bertujuan untuk mengesahkan dakwaan salah laku seksual ke atas doktor pelatih seperti yang dilaporkan, selain untuk mengenal pasti tahap keseriusan laporan tersebut.

Menurut laporan akhbar 29 Julai itu, kes berkenaan melibatkan gangguan seksual dan buli beberapa kali oleh seorang ketua jabatan ortopedik di hospital berkenaaan terhadap pegawai di bawah  seliaannya.