PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhasrat menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai destinasi ternakan di Malaysia.

Menterinya Salahudin Ayub berkata, usaha ke arah merealisasikan hasrat sedang dibuat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap daging import.

Menurutnya, sehingga kini Malaysia bergantung kepada kira-kira 70 peratus daging import.

“Kerajaan berhasrat membekalkan 30 peratus daging bagi pasaran tempatan dan kini dalam usaha mewujudkan jenama baharu dalam bidang ternakan lembu selepas kegagalan projek Pusat Feedlot Nasional (NFC),” ujarnya.

Menurutnya perbincangan secara formal dan tidak formal telah dilakukan namun bagi merealisasikannya memerlukan kerjasama kukuh antara kerajaan negeri dan pusat.

Pada masa sama, Salahudin berkata, tanaman padi juga akan diperluaskan di Sarawak.

Beliau berkata cadangan berkaitan perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak.