BANGKOK – Thailand perlu menunggu keputusan kerajaan baharu Malaysia mengenai masa depan proses rundingan damai selatan negara itu susulan kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak pada PRU14, bulan lalu.

Media tempatan meramalkan, kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membatalkan peranan Malaysia sebagai fasilitator kepada rundingan damai yang sedang berjalan antara Bangkok dan Mara Patani (Majlis Syura Patani).

Mara Patani adalah sebuah badan yang mewakili beberapa kumpulan militan di wilayah selatan negara itu.

"Kami perlu menunggu pengesahan sama ada fasilator (rundingan damai) dikekalkan atau jika Malaysia akan meneruskan dasar itu (mengenai proses damai selatan Thailand)," kata Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Thailand (NSC), Jeneral Wanlop Raksanor, di sini hari ini.

Thailand juga perlu melihat sama ada Malaysia akan mengekalkan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim sebagai fasilator untuk rundingan damai itu, katanya.

Kuala Lumpur telah beberapa kali menghoskan rundingan damai antara wakil kerajaan Thailand dan Mara Patani untuk mencari resolusi bagi menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand yang telah mengorbankan lebih 7,000  orang sejak tercetus pada 2004. - Bernama