KUALA LUMPUR - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari bertitah menyarankan agar Pidato Penghargaan Graduan Kehormat ayahanda baginda Almarhum Sultan Azlan Shah 38 tahun lepas, dijadikan rujukan dalam membendung isu sensasi yang boleh mencetus konflik antara masyarakat ketika ini.
   
Pidato itu menyentuh prinsip asas penubuhan Malaysia.
   
Pada 30 Jun 1976 ketika Almarhum menjadi pemeriksa luar ijazah Sarjana Muda Undang-undang Universiti Malaya (UM) dalam pidato selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan, baginda menyentuh aspek keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, prinsip pemisahan kuasa antara Badan Perundangan, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman.
   
Sultan Azlan Shah menyebut pentingnya negara memiliki badan kehakiman yang bebas lagi berkecuali, dan mahkamah hendaklah hanya mengenali keadilan, berkawan mesra dengan kedaulatan undang-undang, bersahabat rapat dengan kebenaran dan berjinak-jinak dengan kejujuran.
   
"Pidato tersebut diakhiri dengan peringatan berikut: "Untuk menjadi masyarakat Malaysia suatu masyarakat yang kuat, dinamik dan tahan lasak, maka seluruh masyarakat di dalamnya perlulah bersatu padu di bawah satu bendera, bendera Malaysia; di bawah satu Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.
   
"Di bawah satu bahasa, Bahasa Malaysia; di bawah satu lagu, lagu Negaraku, di bawah satu kebudayaan, kebudayaan yang berteraskan kebudayaan Melayu; dan di bawah satu lambang, 'Bersekutu Bertambah Mutu," titah Sultan Nazrin pada majlis memperingati Almarhum Sultan Azlan Shah di Dewan Tunku Canselor, UM di sini.
   
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
   
Almarhum Sultan Azlan Shah telah diperkenankan lantikan sebagai Canselor Ketiga UM oleh Yang Dipertuan Agong Kelapan Sultan Iskandar Sultan Ismail berkuat kuasa 8 Februari 1986.
   
Sultan Nazrin Shah bertitah selama 28 tahun sebagai canselor, Almarhum ayahanda baginda telah berangkat menzahirkan titah pada setiap istiadat konvokesyen sejak 1986 hingga 2011.
   
Dalam 26 Titah Konvokesyen, Sultan Azlan Shah secara konsisten menegaskan pentingnya universiti merangka kandungan pendidikan yang holistik merangkumi aspek agama, intelek, nilai murni dan integriti.
   
Ini untuk menghasilkan graduan berilmu, beretika, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkeupayaan, dan pada setiap masa bersifat jujur lagi ikhlas agar mendapat keredaan Ilahi, titah Sultan Nazrin Shah.
   
"Semasa menzahirkan titah sempena Istiadat Konvokesyen bertarikh 1 Ogos 1987, Sultan Azlan Shah telah menegaskan pentingnya dipastikan universiti memiliki autonomi pengurusan akademik," titah Sultan Nazrin Shah.
   
Baginda memetik kata-kata berikut yang dilafazkan Almarhum ayahanda baginda sempena istiadat konvokesyen itu:
   
"Dari segi sejarah, kita boleh perhatikan di negeri-negeri di mana pihak luar cuba campur tangan dalam pengurusan akademik sesebuah universiti, maka mutu akademiknya telah merosot dan sukar hendak diperbaiki bukan sahaja di dunia ketiga tetapi di negeri yang telah maju.
   
"Beta menyeru kepada pemimpin-pemimpin politik dan orang kenamaan lain di dalam masyarakat kita supaya tidak cuba mengarah atau mempengaruhi ataupun melobi pihak universiti dalam hal ehwal akademik," titah baginda.
   
Menyentuh tentang majlis tersebut Raja Nazrin menegaskan, "Majlis ini adalah manifestasi menzahirkan penghargaan dan ingatan warga Universiti Malaya kepada seorang insan yang telah memberikan naungan pimpinan kepada Universiti selama 28 tahun.
   
"Penghargaan dan ingatan yang lebih abadi adalah secara menghayati segala kata bimbingan yang telah Almarhum zahirkan untuk dijadikan amalan.
   
Semoga setiap kata bimbingan yang diterjemahkan berbentuk amalan, akan turut diterima Ilahi sebagai sebahagian daripada amal soleh yang dialirkan ganjaran kebaikan kepada roh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah," titah Sultan Nazrin Shah.
   
Selesai bertitah, baginda berkenan menerima persalinan yang pernah digunakan Almarhum Sultan Azlan Shah sepanjang memayungi UM sebagai Canselor, khasnya semasa istiadat konvokesyen, berupa jubah akademik, tali leher dan topi akademik daripada Naib Canselor UM Datuk Dr Mohd Amin Jalaluddin. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BAGAN SERAI - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah amalan tauhid perlu menjadi dasar serta prinsip sesebuah negara kerana ia membolehkan nilai-nilai keadilan dan persaudaraan dihayati sepenuhnya.
  • IPOH - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah institusi media wajib berpegang kepada prinsip kebenaran manakala para petugas pula menyempurnakan amanah serta tanggungjawab dengan hati dan iman yang penuh takwa.