KLUANG - Kerajaan akan mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memberi penerangan lebih terperinci mengenai reka bentuk jambatan bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Woodlands, Singapura ke Bukit Chagar, Johor Bahru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pihaknya sedang menunggu jawapan dari pihak istana untuk mendapatkan tarikh pertemuan bersama Sultan Johor.

"Saya mengambil maklum apa yang dikatakan oleh tuanku dan saya faham apa yang diperkatakan. Tetapi saya hendak beri penjelasan kepada tuanku nanti bila saya mengadap supaya isu ini dapat dijelaskan sebaik mungkin.

"Salah satu isunya ialah bentuk reka bentuk jambatan tersebut dikatakan melengkung ataupun bengkok sebenarnya memang betul dan tidak lurus tetapi bukan kerana kita tidak ikut lakaran yang ada seperti yang dipaparkan sebenarnya stesen Bukit Chagar, di Johor Bahru dan stesen Woodlands Singapura ianya tidak selari.

"Yang keduanya, kenapa kita bina tinggi dan tidak sama rata dengan Tambak, Johor bukan kita kata hendak robohkan Tambak dan kita tidak tahu keputusan kerajaan  kedua-dua negara dalam 50 hingga 100 tahun dari sekarang jadi kita konsisten dalam membina jambatan ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Persidangan Umno bahagian Kluang, di Pekan Rabu, di sini, hari ini.

Dalam laporan media 6 Ogos lalu, Sultan Ibrahim bertitah menyambut baik projek RTS, namun tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk trek rel yang melengkung, selain jambatannya yang mungkin mencapai ketinggian 30 meter di bahagian tengahnya.

Pembinaan jambatan dalam ketinggian itu akan menjejaskan pemandangan bandar raya sepanjang Selat Johor, selain ketinggiannya tidak praktikal, tidak mapan dan kosnya berpotensi tinggi.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, trek RTS yang akan direka itu sebenarnya telah mengambil kira lokasi stesen Bukit Chagar  di Johor Bahru dan stesen Utara Woodlands di Singapura.

"Rancangan untuk membina jambatan mencapai ketinggian 25 meter itu adalah berdasarkan kepada permintaan yang dibuat oleh Jabatan Laut Malaysia.

"Kita (Kerajaan) bukan saja-saja tinggikan tetapi inilah keperluan yang diminta oleh Jabatan Laut bagi memastikan konsisten sepertimana kita lihat Jambatan di Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) berketinggian 25 meter, jambatan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) juga 25 meter

"Ianya ditinggikan adalah hendak beri laluan kepada kapal lalu dalam jangka masa panjang. Tetapi ini semua saya akan jelaskan kepada tuanku.

"Saya juga ingin maklumkan bahawa Singapura hendakkan sebuah syarikat yang berpengalaman dalam bidang keretapi sebab itu syarikat konsesi Prasara Malaysia Bhd yang merupakan satu syarikat di bawah Kerajaan Pusat dipilih kerana mempunyai pengalaman dalam mengendali MRT dan LRT.

"Jadi Singapura tiada masalah dengan kemampuan Prasarana Malaysia Bhd untuk laksanakan," katanya.

Abdul Rahman berkata, Malaysia Dan Singapura bakal menandatangani perjanjian dua hala bagi perlaksanaan RTS pada Disember ini dengan kos dianggarkan lebih kira RM11 bilion.

"Dengan pembahagian pembayaran konsesi RTS iaitu 40 peratus Malaysia dan 60 peratus Singapura," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.