KUALA LUMPUR - Bagi mencapai pertumbuhan inklusif dan mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, kerajaan menetapkan tiga bidang keutamaan dan 12 strategi  ke arah pembangunan wilayah yang seimbang dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) 2018-2020.

Usaha berkenaan menjadi keutamaan ‘Tonggak Ketiga Keutamaan dan Penekanan Baharu 2018-2020’ iaitu ‘Menuju ke arah Pembangunan Wilayah yang Seimbang’ akan memfokuskan kepada tiga bidang iaitu Bidang Keutamaan A – Memperkukuh pembangunan ekonomi wilayah, Bidang Keutamaan B – Merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dan Bidang Keutamaan C – Mempercepat pembangunan di Sabah dan Sarawak.

“Usaha untuk menangani ketidakseimbangan wilayah akan dipergiat untuk merapatkan jurang pembangunan sosio-ekonomi antara wilayah dan negeri bagi merangsang aktiviti ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Dalam menangani ketidakseimbangan wilayah, negeri dikategori mengikut kluster berdasarkan sempadan geografi iaitu Wilayah Utara, Wilayah Tengah, Wilayah Selatan, Wilayah Timur, Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak,” demikian menurut Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 2018-2020 yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, hari ini.

Di bawah Bidang Keutamaan A diletakkan empat strategi bagi memastikan usaha membangunkan wilayah yang seimbang berjaya, yang meliputi strategi memperkukuh dan memperkemas perancangan pembangunan negeri dan wilayah; memoden dan mempelbagai asas ekonomi; menggalakkan bandar yang berdaya saing dan memperkukuh kerjasama serantau ASEAN.

Bagi Bidang Keutamaan B, ia merangkumi tiga strategi iaitu mempertingkat infrastruktur luar bandar; menambah baik hubung kait antara bandar dan luar bandar serta strategi mewujudkan aktiviti ekonomi setempat di luar bandar.

Dalam Bidang Keutamaan C pula, lima strategi ditetapkan iaitu mempergiat pertumbuhan ekonomi dan perancangan pembangunan; mempertingkat infrastruktur untuk menambah baik ketersambungan; memperluas akses kepada infrastruktur, ameniti dan perkhidmatan asas; menambah peluang pekerjaan dan strategi kelima iaitu meningkatkan pembangunan tanah adat.

Menurut laporan itu, strategi dan inisiatif yang menyeluruh akan terus dilaksana dalam tempoh akhir RMK11 bagi memastikan pembangunan wilayah lebih seimbang yang akan turut menyumbang kepada pertumbuhan negara.

Hubung kait antara bandar dan luar bandar akan diperkukuh bagi merangsang aktiviti ekonomi dan mentransformasi kawasan luar bandar untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

Pada  masa sama, pembangunan di wilayah Sabah dan Sarawak akan terus menjadi keutamaan bagi mengurangkan jurang dengan wilayah lain.

Pelaksanaan pelbagai strategi pembangunan wilayah itu adalah selari dengan Agenda 2030 Pembangunan Mampan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertema ‘Tiada Sesiapa Tertinggal’ akan menyumbang ke arah menyediakan peluang pekerjaan dan mencapai pertumbuhan inklusif, menurut laporan itu. - Bernama