MACHANG - Kerajaan memperuntukkan RM75 juta bagi membina 418 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Batu 25, di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembinaan bagi fasa satu tersebut dijangka siap sepenuhnya pada awal 2019.

Katanya, rumah PPR bernilai RM35,000 tersebut bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah.

"Lapan projek PPR dibina di Kelantan termasuk 1,000 unit di Kota Bharu dan 418 unit di Machang yang dalam pembinaan.

"Kita menanggung subsidi antara RM80,000 hingga RM120,000 bagi setiap rumah, bergantung kepada kos pembinaan dan tanah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Machang di sini, hari ini.