RAUB - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM13.5 juta tahun ini bagi melahirkan golongan usahawan dalam kalangan pelatih GiatMara di seluruh negara, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
   
Beliau berkata, peruntukan itu bagi Program Peningkatan Usahawan GiatMara (Putra) sebanyak RM1 juta, Program Pewujudan Usahawan GiatMara (RM3.5 juta) dan Program Khas Pewujudan Usahawan GiatMara (RM9 juta).
   
"Ini semua adalah untuk memastikan semua perancangan kami membantu pelajar GiatMara bukan sahaja mendapat peluang pekerjaan yang baik ... bahkan menyediakan mereka menjadi usahawan dan memiliki perniagaan sendiri," katanya  ketika merasmikan GiatMara Raub, di sini, hari ini.
   
Selain itu, katanya peruntukan berjumlah RM2.25 juta turut disediakan tahun ini bagi Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat yang berobjektif menangani masalah golongan miskin tegar di luar bandar menjurus ke arah pembangunan ekonomi, modal insan dan pendidikan serta pembangunan fizikal (keperluan asas).

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, Pengerusi GiatMara Datuk Jaujan Sambakong dan Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad.   
   
Dalam pada itu Mohd Shafie berkata, GiatMara Raub bakal menjadi Pusat Kecemerlangan Keusahawan dan boleh menjadi rujukan institusi pengajian lain yang ada di sekitar daerah ini.
   
Katanya, pelbagai pakej baharu termasuk memperkenalkan kursus pengajian baharu sebagai nilai tambah kepada pelajar pusat itu.
   
Beliau berkata, kini terdapat 231 GiatMara di seluruh negara walaupun pada asalnya disasarkan satu GiatMara di setiap daripada sejumlah 222 kawasan Parlimen.
   
"Ini bermakna, kerajaan sudah berjaya menyediakan ruang secukupnya kepada masyarakat luar bandar untuk mendapatkan latihan kemahiran mencukupi sebagai persiapan untuk mereka bersaing dalam sektor pekerjaan," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.