SHAH ALAM - Kerajaan PH dilihat sangat bergantung kepada hasil minyak untuk 2019 dan perkara ini boleh menyebabkan negara mengalami krisis jika harga minyak terus turun hingga ke bawah AS$70.

Berkas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, di dalam perbahasannya di Dewan Rakyat beberapa bulan dahulu, beliau memberi amaran bahawa langkah kerajaan bergantung kepada unjuran harga minyak berbanding unjuran AS$52 dalam bajet Kerajaan BN adalah berisiko tinggi.

“Ini kerana harga minyak dunia tidak stabil dan bertakluk ke atas faktor geopoliitk di luar kawalan kita.

“Tambahan pula, Amerika Syarikat yang merupakan pengguna minyak terbesar di dunia tiba-tiba menjadi pengeluar minyak antara terbesar di dunia kerana pengeluaran minyak mereka semakin meningkat beberapa tahun kebelakangan ini akibat peningkatan teknologi untuk mengeluarkan minyak dari oil sands negara itu.

“Harga minyak dunia antara AS$79 hingga AS$86 satu tong. Semalam telah jatuh kepada AS$70, sebagaimana amaran saya sebelum ini,” katanya dalam perkongsian akauan Facebook peribadinya hari ini.

Najib berkata, jika harga jatuh lagi di bawah AS$70 maka defisit bajet yang sudah tinggi untuk tahun depan akan bertambah teruk dan nilai matawang ringgit akan semakin menurun.

“Tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan juga akan berganda. Semenjak saya menjadi Perdana Menteri, Kerajaan BN telah berusaha untuk mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak setiap tahun dari 42 peratus kepada 16 peratus sahaja.

“Seperti yang ditunjuk di dalam carta di bawah, langkah ini berjaya dan ekonomi kita tidak lagi terdedah dengan risiko yang tinggi jika harga minyak tiba-tiba turun dengan banyak seperti berlaku pada tahun 2015 dan 2016 di mana harga minyak dunia rendah sehingga hanya AS$28 satu tong,” katanya.

Terdahulu dalam perkongsian di Facebooknya Najib juga memberitahu, kerajaan PH hari ini akan memaksa Petronas membayar dividen RM80 bilion iaitu RM26 bilion untuk tahun ini dan RM54 bilion pada tahun depan disebabkan oleh langkah populis yang tidak bijak seperti memansuhkan GST.

“Tindakan ini menyebabkan syarikat penarafan antarabangsa menurunkan prospek penarafan Petronas dari stabil kepada negatif,” katanya.

Najib berkata, BN semasa memerintah negara meninggalkan sekitar RM150 bilion di dalam rizab tunai Petronas.

“Rizab ini naik berganda kerana Kerajaan BN sepanjang sembilan tahun ini tidak memaksa Petronas untuk membayar dividen berlebihan setiap tahun dan tidak memanggil Petronas untuk menyalur dana untuk projek-projek mega yang tiada kaitan dengan industri mereka.

“Rizab Petronas juga naik kerana kerajaan BN dengan pertolongan 1MDB pada tahun 2012 telah menyelesaikan masalah perjanjian berat sebelah Penjana Kuasa Bebas (IPP) yang dulunya mengakibatkan Petronas menanggung kerugian berpuluh bilion Ringgit setiap tahun dalam bentuk subsidi gas kepada IPP milik swasta,” katanya.