TAMPIN – Seorang anak tidak menyangka percubaan kali pertama menyertai Peraduan Rakyat 1Malaysia (PR1M) dengan menghantar lima penyertaan sekali gus menggunakan namanya termasuk empat ahli keluarga lain membuahkan hasil apabila salah satu penyertaan dipilih sebagai pemenang.

 Shahinas Bidol, 45 berkata, sebaik terbaca peraduan itu akan ditamatkan, dia teruja menyertainya dengan harapan ada rezeki menang di hari-hari terakhir PR1M.

"Alhamdulillah, rezeki nama ayah, Bidol Mohd Yasin, 77, yang juga pesara polis terpilih sebagai pemenang.

"Saya sangat bersyukur. Tak sangka dah rezeki kami untuk menang, walaupun ada pembaca yang sudah mencubanya setahun lalu,” katanya di rumahnya di Kampung Tengah, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Bidol berharap Sinar Harian akan lebih berkembang maju di masa hadapan dan terus melaporkan berita di setiap daerah.

Menurutnya, berita daerah adalah keistimewaan akhbar ini berbanding akhbar lain.

“Saya juga suka baca ruangan cetusan dan berharap agar identiti akhbar ini akan terus dikekalkan,” katanya.