KEBIASAANNYA masyarakat kaum Cina memilih restoran untuk meraikan perkahwinan ahli keluarga.

Namun pendekatan berbeza diambil seorang lelaki berbangsa Cina yang menetap di Taman Perdana, Jerantut apabila dia memilih untuk meraikan perkahwinan anak sulungnya mengikut tradisi Melayu dan sajian disediakan secara rewang.

Lau Mok Sang, 52, turut menjamu tetamu majlis perkahwinan anak sulungnya, Lau Chee Kheub, 24, dan isteri, Loh Xian Wei, 24, dengan juadah Melayu iaitu nasi minyak, ayam masak merah, opor daging, sup kicap tulang dan acar timun.

Mok Sang yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) Padang Saujana berkata, dia mahu menghidupkan kembali semangat perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di taman perumahan itu.

Katanya, tambahan pula, dia yang menetap di Taman Perdana sejak 16 tahun lalu mahu meraikan jira yang majoritinya Melayu.

“Sebenarnya tradisi merewang ini pernah diadakan oleh nenek moyang kita, cuma kini ia semakin kurang dipraktikkan. Saya mahu hidupkan kembali suasana begini,” katanya.

Mok Sang berkata, dia dan isterinya, Mak Moy, 48, memiliki enam anak dan mahu meneruskan tradisi itu untuk semua anaknya.

Aktiviti merewang dibantu ahli jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Perdana.

Juadah dimasak di dalam kawah menggunakan kayu api.

Sementara itu jiran Mok Sang, Abdul Basir Jabar, 56, dipertanggungjawabkan untuk menyediakan juadah dan tempat memasak.

Abdul Basir berkata, tidak hanya menjadikan rumahnya sebagai tempat memasak, malah dia juga diamanahkan untuk menjemput semua penduduk Taman Perdana ke kenduri itu.

“Hati saya berdebar-debar memikirkan apakah penerimaan orang sekeliling. Alhamdulillah, sambutan diterima amat menggalakkan,” katanya.

Dia yang sudah lama berjiran dengan Mok Sang menganggap anak rakan baiknya itu seperti anaknya sendiri.

“Sebab itu saya bersungguh-sungguh menjalankan amanah dipertanggungjawabkan olehnya. Dia serahkan duit belanja, saya uruskan semua,” katanya.

Mok Sang yang merupakan seorang kontraktor turut menempah khas tukang masak dari Pekan untuk memasak sup kicap tulang.

Abdul Basir berkata, Mok Sang gemarkan masakan Melayu dan menyukai sup itu dan mahu menghidangkannya kepada  saudara mara dari jauh.

Pengerusi KRT Taman Perdana, Mazlan Mohamad pula berkata, ini kenduri pertama diadakan seperti itu sejak 16 tahun taman perumahan itu dibuka.

“Belum ada lagi majlis seumpama ini di mana majlis perkahwinan jiran berbangsa Cina tetapi jiran berbangsa Melayu menyediakan juadah untuk majlis perkahwinan anak mereka.

“Di taman ini, kita ada sekitar 10 keluarga berbangsa Cina dan dua keluarga berbangsa India, di mana mereka ini tidak pernah terpinggir dalam apa juga majlis atau kenduri yang diadakan di taman perumahan ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • “PENGHUNI di sini terdiri pelbagai kaum. Ada Cina, Melayu dan India namun bagi saya, kami adalah satu keluarga besar dan tak pernah menjadikan perbezaan bangsa dan agama sebagai batasan.
  • DIA beragama Hindu, manakala isterinya pula beragama Kristian. Namun, bagi A.Mahayesan, 51, dia sudah biasa bergaul dengan masyarakat Melayu beragama Islam.