PUTRAJAYA - Tempoh tahanan reman bekas pegawai khas Datin Seri Rosmah Mansor, dilanjutkan dua hari bagi membantu siasatan keterangan berhubung penyelewengan projek solar kepada 369 sekolah di Sarawak yang membabitkan nilai RM1.25 bilion.

Perintah tahanan itu dikeluarkan oleh Majistret, Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Lanjutan tahanan reman itu bermula esok dan berakhir pada Ahad.

Isnin lalu, lelaki yang berusia 48 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM selepas hadir memberi keterangan berhubung kes itu.

[ARTIKEL BERKAITAN:Projek solar: Pengarah urusan dan peguam direman]

Pada 26 Jun lalu, pengarah urusan dan peguamnya menjadi individu pertama ditahan sebelum seorang pengarah syarikat ditahan dua hari kemudiannya.

Mereka masing-masing direman sehingga enam hari membantu siasatan SPRM terhadap skandal penyelewengan itu.

Sebelum ini, portal Sarawak Report mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak yang didakwa melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian Pendidikan.