GEORGETOWN – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Pulau Pinang sedia menurunkan harga rumah antara enam hingga 10 peratus.

Pengerusinya, Datuk Toh Chin Leong berkata, pendekatan itu adalah sebagai membalas jasa kerajaan yang memberi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada bahan binaan dan perkhidmatan.

“Kami sangat mengalu-alukan pelaksanaan SST. Kerajaan sekarang sangat mengambil perhatian dalam soal pembinaan apabila mengecualikan cukai terhadap bahan binaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: SST: Kerajaan mahu lihat perubahan harga rumah]

“Kami dah bincang dengan menteri kewangan (Lim Guan Eng) dan akan nasihatkan rakan-rakan pemaju supaya kita boleh turunkan harga sehingga 10 peratus.

“Pengurangan ini tidak termasuk harga rumah mampu milik, kos rendah dan sederhana rendah,” katanya.

Menurutnya, cadangan pengurangan harga itu adalah melibatkan harga rumah melebihi RM300,000.

“Kita harap pemaju-pemaju dapat cuba kurangkan harga berbanding semasa perlaksanaan GST (cukai barangan dan perkhidmatan).

“Bagi rumah mampu milik pula, kita akan cuba nasihatkan rakan-rakan pemaju supaya dapat kurangkan harga sekurang-kurangnya enam peratus,” katanya.