PUTRAJAYA - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bersidang untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) akan mempersembahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong esok.

Setiausaha  RCI, Datuk Dr Yusof Ismail dalam notis yang dikeluarkan hari ini berkata pengerusi suruhanjaya Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan menghadap Seri Paduka di Istana Negara di antara pukul 5 petang dan 6 petang.

Pada 15 Julai tahun ini, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan RCI untuk menyiasat kerugian dialami Bank Negara Malaysia dalam urus niaga mata wang asing pada 1990-an mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan.

Panel lima anggota RCI diketuai Mohd Sidek telah bersidang selama lapan hari dari 21 Ogos dan berakhir pada 19 Sept selepas memanggil 25 saksi.

Antara saksi berkenaan ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas Penasihat  BNM Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Antara lima bidang rujukan suruhanjaya itu adalah :-

*Untuk menentukan sama ada urus niaga mata wang asing Bank Negara, yang mengalami kerugian, telah melanggar peruntukan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang lain yang berkenaan.

*Untuk menentukan sama ada terdapat unsur sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta penyata mengelirukan yang dikemukakan kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai berhubung kerugian dialami Bank Negara disebabkan urus niaga mata wang asing itu.

* Untuk mengesyorkan tindakan sewajarnya yang perlu diambil terhadap pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung sekiranya mereka didapati menyebabkan Bank Negara mengalami kerugian itu dan menyembunyikan fakta serta maklumat mengenai kerugian yang dimaksudkan.

*Untuk mengesyorkan tindakan yang patut diambil bagi memastikan perkara serupa tidak berulang.

Selain Mohd Sidek, yang juga pengerusi Petronas, anggota lain suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan.

Esok adalah tarikh akhir untuk suruhanjaya mempersembahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) mengetuai serbuan ke atas Koperasi Dinar Dirham Bhd yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Akta Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
  • KUCHING - Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank di negara ini telah menyediakan penasihat dan pakar yang mencukupi untuk memastikan pelaksanaan sistem kewangan Islam adalah mengikut peraturan Syariah.
  • PETALING JAYA - Pakatan Harapan mahukan penjelasan lengkap dan teliti daripada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
  • KUALA LUMPUR - Wang kertas Malaysia yang palsu dikesan mempunyai kualiti rendah, kebanyakannya dicetak pada kertas biasa menggunakan pencetak dan mesin salinan warna yang lazim.