KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi rawatan pasca pembedahan terbaik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau akan berunding dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara untuk memberi rawatan pasca pembedahan sehingga Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan, sembuh sepenuhnya.

“Kerajaan bersetuju agar (beliau) memilih  doktor dan peralatan serta rawatan pasca pembedahan yang terbaik. Ini adalah permintaan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Actyvate di iM4U Sentral di sini, malam ini.

Petang tadi, Ahmad Zahid dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis melawat Anwar yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Anwar menjalani pembedahan di bahagian bahu kanannya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari HKL ke Penjara Sungai Buloh pada 22 Sept lepas.

Anwar menjalani pembedahan artroskopi bahu kanannya itu di HKL pada Ahad lepas.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor melawat Anwar di HKL.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Anwar telah mengalami kesakitan di bahu kanannya susulan kemalangan itu.

Berikutan itu, Jabatan Penjara memutuskan supaya Anwar diberi rawatan segera, katanya.

Ditanya reaksi Anwar ketika menerima kunjungannya di HKL petang tadi, Ahmad Zahid berkata “beliau menerima (kunjungan) kami dengan baik”.

“...perdana menteri dan isteri mengetepikan perbezaan politik untuk menziarahi beliau,” katanya.