PASIR SALAK - Penduduk Felcra Changkat Lada, Seberang Perak di sini  ‘gempar’ seketika apabila melihat pergerakan tentera yang ramai di kawasan sawah padi pagi tadi.

Selain itu, ruang  angkasa yang aman tiba-tiba  bingit dengan deruman enjin  enam pesawat berlegar-legar sebelum ‘memuntahkan’  beratus anggota tentera lengkap bersenjata yang memenuhi hampir segenap ceruk bendang berkenaan.

Pasukan itu kemudian bergerak ke suatu lokasi bagi membersihkan ancaman musuh dan seterusnya menawan beberapa kawasan penting sepanjang laluan Kampung Gajah-Ipoh.

Bagaimanapun, situasi cemas itu adalah Eksesais Gerak Pantas siri 24/2018 dan latihan terjunan 330 anggota penerjun 10 Briged Para yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.

Eksesais Gerak Pantas itu dilaksanakan di beberapa lokasi di Kampung Gajah, Seberang Perak selama tiga hari mulai hari ini.

Tengku Amir (tengah) menyaksikan anggota 10 Briged (Para) melakukan terjunan ketika Eksesais Gerak Pantas siri 24/2018 di Zon Gugur Seberang Perak hari ini. - Foto Bernama

Penerjunan itu diketuai Pegawai Memerintah 17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Para Leftenan Kolonel Anwar Zamani Jusop dan turut disertai Panglima 10 Briged Para Brig. Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Ketika ditemui pemberita, Tengku Muhammad Fauzi berkata, eksesais dwitahunan itu dilaksanakan secara bersama antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan United State Pacific Air Force (PACAF) yang sedang melaksanakan Ex Cope Taufan.

“Latihan ini berkonsepkan atur gerak secara penerjunan paracut ‘behind enemy line’ (belakang kawasan musuh) di zon gugur.

Anggota 10 Briged (Para) melakukan terjunan ketika Eksesais Gerak Pantas siri 24/2018. - Foto Bernama

“Eksesais ini juga menguji keupayaan tempur Para Batalion bersama dengan pasukan afiliasi yang membantu serta menilai aspek perancangan dan persiapan staf di peringkat batalion dan briged,” katanya.

Jelas beliau kesemua mereka yang menaiki pesawat  TUDM memulakan terjunan di zon gugur pada ketinggian  800 hingga 1,200 kaki, kira-kira 10.30 pagi selepas berlepas dari Pangkalan TUDM Subang.

Berangkat hadir menyaksikan eksesais itu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang diiringi Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin dan Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar. - Bernama