SHAH ALAM - Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar menyifatkan bahawa penyebab utama berlakunya rasuah dalam negara ini adalah kerana ketiadaan integriti.

Menurutnya, anak-anak sudah diajar sedari kecil lagi untuk menjadi materialistik menyebabkan seterusnya menyumbang kepada berlakunya rasuah.

"Sedari kecil, ibu bapa sudah menanamkan dalam akal fikiran anak-anak supaya pergi ke sekolah untuk mendapat perkerjaan yang bagus, susah mahu jumpa ibu bapa yang memberi nasihat kepada anak-anak supaya ke sekolah untuk menjadi seorang yang baik.

 "Sejak kecil lagi mereka sudah diajar menjadi materialik dan ini merupakan satu masalah besar di negara kita," katanya ketika Wacana Sinar Harian Siri ke-46 'Rasuah dan Penyelewengan: Di Mana Maruah Kita' di Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Tambah Akhtar lagi, rasuah semakin berleluasa kerana ada yang bertindak tidak melaporkan sekiranya sesuatu salah laku tersebut terjadi.

"Jika rasuah tersebut melibatkan orang bawahan, maka kita kan laporkan tetapi jika melibatkan orang atasan, ada yang bertindak tidak melaporkan.

"Mengapa perkara ini terjadi? ada dua sebab sebenarnya, satu adalah kerana kita takut diambil tindakan oleh pihak tertentu manakala satu lagi ialah kerana ada kepentingan peribadi iaitu mengharapkan dapat habuan daripada si perasuah," katanya lagi.
 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.