PUTRAJAYA - Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil langkah proaktif menggubal Rangka Tindakan Komunikasi dan Multimedia (CMB) 2018-2025 untuk memperkasa dan memperkukuhkan lagi sektor komunikasi dan multimedia negara ini.

Timbalan Menterinya  Datuk Seri Jailani Johari berkata, rangka tindakan berkenaan, yang mengambil masa 15 tahun untuk disediakan, akan mempersiapkan Malaysia untuk menjadi lebih terhubung dengan era digital termaju serta menjadi sebuah negara digital.

Menurut beliau, rangka tindakan itu berpaksikan enam imperatif iaitu menghubungkan manusia, mengukuhkan kepercayaan, menggiatkan penglibatan, mempercepatkan inovasi, menjadi pemangkin bagi kreativiti dan memperkasa bakat.

"Enam paksi itu mencerminkan aspirasi kementerian ini untuk mencapai pendigitalan dan nilai keinsanan, yang saling melengkapi bagi memastikan wujudnya keseimbangan optimum antara pembangunan ekonomi dan sosial.

"Rangka tindakan ini akan dilancarkan dan dilaksanakan pada suku pertama tahun depan. Seiring dengan langkah Malaysia untuk mara ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi dengan kehadiran Industri 4.0, berserta cabaran yang dibawanya, negara ini perlu menjadi lebih tangkas dan lebih terkehadapan daripada kemajuan teknologi,” kata Jailani ketika  berucap pada forum dan majlis pelancaran tidak rasmi  CMB bertemakan 'Digitising & Humanising'  (Pendigitan & Penginsanan) di sini hari ini.

Turut hadir, ketua setiausaha kementerian itu, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan para pegawai kanan lain. Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh juga menghadirinya.

Jailani berkata CMB merupakan rangka kerja bagi dasar dan tanggungjawab bersama yang akan menjadi platform untuk orang ramai memanfaatkan peluang komunikasi dan multimedia  di peringkat tempatan dan global.

"Ini (rangka tindakan berkenaan) akan membantu mempercepatkan pertumbuhan dan transformasi sektor ekonomi lain serta mewujudkan sebuah masyarakat yang berhubung, bermaklumat dan perkasa, komponen penting dalam aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan,” katanya.

Jailani bagaimanapun berkata rangka tindakan itu juga perlu sejajar dengan Pelan Induk ICT Persatuan Negara Asia Tenggara (Asean) 2020 dan Matlamat Pembangunan Mampan bagi memastikan wujudnya perlindungan bagi pengguna, terutama dalam menangani privasi dan keselamatan.

Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, beliau berkata satu daripada sasaran rangka tindakan itu ialah meningkatkan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi daripada 81 peratus ketika ini kepada 95 peratus menjelang 2025 untuk rumah kediaman dan perniagaan.

Menurut beliau, antara lain, kemudahan Internet  jalur lebar akan ditambah baik di kawasan luar bandar bagi menjadikan anggota masyarakat lebih terhubung antara satu dengan lain.

“Rangka tindakan ini akan digubal dengan teliti melalui perundingan dan penglibatan pelbagai pemegang kepentingan terdiri daripada kementerian berkenaan dan penggiat industri bagi mengenal pasti jurang serta cabaran untuk membolehkan industri berkenaan terus bergerak maju,” katanya. – Bernama