KUALA LUMPUR - Rakyat tidak kisah mengenai janji 100 hari atau janji-janji lain dalam manifesto PH sama ada dilaksanakan atau tidak.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana rakyat memilih PH bukan kerana manifesto ditawarkan sebaliknya hanya mahu menumbangkan Umno-BN.

“Malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri akui manifesto PH ditulis dalam keadaan tidak sangka boleh menang. Sebab itu janji dibuat tanpa memikirkan implikasi kewangan dan lain-lain.

“Rakyat terima sebab rakyat hanya nak buang Umno-BN. Bukan setuju dengan manifesto PH,” katanya di laman Twitter hari ini.

Katanya lagi, BN dan Umno perlu memikirkan hala tuju baharu selepas pemerintahan PH mencapai 100 hari.

“Kepimpinan mesti berada di hadapan kelok perubahan. Dah sampai 100 hari.  Patut fikir ‘what’s next? (apa seterusnya?). Bukan masih jual naratif janji tidak ditunaikan,” katanya.

Menurut Khairy, beliau telah berbincang dengan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan beberapa ahli Parlimen BN lain mengenai keperluan menyediakan Bajet Alternatif.

“Boleh dibentang semasa sesi Parlimen akan datang sekali dengan belanjawan oleh kerajaan PH. Dulu PH pun buat perkara sama.

“Sekurang-kurangnya, rakyat boleh nilai polisi dan cadangan dari kedua-dua belah pihak. Perbahasan juga lebih bermatlamat sebab ada rujukan kepada dua pilihan berbeza dalam menguruskan ekonomi negara,” katanya.